Berita Hari Ini

Kajian semula Dasar Komoniti Negara sedang dimuktamad

PUTRAJAYA: Hala tuju dan sasaran baharu sektor komoditi dalam kajian semula Dasar Komoditi Negara (DKN), sedang dimuktamadkan, kata Menteri Perusahaan, Perladangan dan Komoditi, Datuk Amar Douglas Uggah Embas.

Pada perhimpunan bulanan kementeriannya di sini hari ini, beliau berkata kajian semula DKN itu akan dibentangkan kepada kabinet dalam tempoh terdekat.

“Kita perlukan dasar dan strategi bersifat ‘game changers’ yang mampu menghadapi pasaran antarabangsa yang sungguh dinamik serta arus perubahan sains dan teknologi bagi mencapai produktiviti yang tinggi dan mencipta produk bernilai tambah tinggi yang inovatif,” katanya.

Pada masa sama, katanya, pangkalan data komoditi perlu ditambah baik agar lebih tepat dan sentiasa dikemas kini. Ia akan memudahkan proses membuat keputusan dalam perancangan, pelaksanaan dan pemantauan inisiatif, program dan projek serta dapat dimanfaatkan bagi meningkatkan hasil dan mengurangkan kos, katanya.

Uggah Embas berkata transformasi perlu dibuat ke arah industri yang lebih mesra alam selain menyokong pertumbuhan hijau dengan menerapkan konsep penggunaan dan pengeluaran mampan.

Beliau berkata langkah proaktif dalam pelaksanaan skim pensijilan dan penetapan piawaian yang lebih tinggi daripada piawaian antarabangsa perlu dilakukan ke arah peningkatan daya saing produk-produk komoditi negara.

Beliau juga berkata Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA) perlu dimanfaatkan sebaik-baiknya oleh pihak industri supaya akses pasaran komoditi yang lebih luas dan kukuh dapat diperoleh.

Dalam hal ini, katanya, maklumat risikan pasaran yang mantap dan tepat pada masanya adalah amat kritikal terutama bagi pasaran utama “Ia perlu sentiasa diperkukuh supaya kita mampu menangani isu pasaran, terutama yang berbentuk bukan tarif secara proaktif dan bukan bertindak secara reaktif,” katanya.

Uggah Embas berkata kementerian juga akan memperkukuh pelaksanaan bantuan dan program kepada golongan pekebun kecil bagi membolehkan mereka mencapai pendapatan isi rumah sekurang-kurangnya RM5,270 sebulan menjelang 2020.

Katanya penyaluran bantuan tanaman komoditi perlu dipercepat selain dilengkapi aktiviti pengembangan bagi membolehkan golongan sasar itu menikmati faedah daripada inisiatif-inisiatif kerajaan.

Pada perhimpunan bulanan itu beliau turut memaklumkan beberapa komoditi utama negara mencatatkan peningkatan eksport bagi tempoh Januari hingga Oktober 2015 berbanding tempoh yang sama tahun sebelumnya.

Sumbangan pendapatan eksport sektor getah meningkat 5.8 peratus kepada RM20.9 bilion berbanding RM19.7 bilion dan kayu-kayan sebanyak 6.8 peratus kepada RM17.9 bilion berbanding RM16.8 bilion.

Selain itu eksport tembakau turut meningkat sebanyak 16 peratus kepada RM1.2 bilion berbanding RM1.1 bilion, koko sebanyak 0.2 peratus kepada RM4.08 bilion berbanding RM4.07 bilion dan lada sebanyak 25.9 peratus kepada RM432.6 juta berbanding RM343.5 juta.

Bagaimanapun, pendapatan eksport sektor sawit menurun sebanyak lima peratus daripada RM55.5 bilion kepada RM52.7 bilion.

– BERNAMA

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");