Sukan Hari Ini

KLFA adu FAM tuntut hak

Kuala Lumpur: Selepas usaha untuk mencari jalan penyelesaian di luar gagal, Persatuan Bolasepak Kuala Lumpur (KLFA) tiada cara selain mengadu nasib kepada Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) untuk menuntut kembali hak ke atas dua pemain R Kogileswaran dan R Dinesh daripada Pahang FC.

Menurut Setiausaha Agungnya Nokman Mustapha, mereka sudah menghantar surat aduan rasmi kepada Jawatankuasa Status Pemain FAM selepas Pahang tidak memberi sebarang penjelasan kepada mereka.

“Kami ada menghantar surat kepada Pahang FC mengenai isu ini namun hingga kini mereka hanya berdiam diri jadi KLFA terpaksa membuat aduan kepada FAM untuk mengetahui status dua pemain ini.

“Jadi buat masa ini kami hanya menunggu maklum balas Jawatankuasa Status Pemain FAM dan sebarang keputusan mengenai Kogileswaran dan Dinesh kami akan terima,” katanya kepada Arena Metro semalam.

Kes berebut pemain sekali lagi timbul kali ini membabitkan skuad Liga Super Pahang yang menandatangani kontrak bekas pemain Harimau Muda C Kogileswaran dan Dinesh.

KLFA mendakwa mengikut peraturan FAM, kedua-dua pemain itu perlu kembali ke pasukan negeri asal terlebih dulu selepas tamat kontrak bersama Harimau Muda C.

Masalah itu semakin rumit dengan kelab Frenz United FC menegaskan dua pemain itu masih mempunyai baki kontrak dengan mereka selepas mengikat kontrak lima tahun sejak 2014.

Nokman berkata, mereka juga berhak menuntut semula Kogileswaran dan Dinesh berdasarkan pembangunan yang dilakukan oleh ahli gabungan mereka.

“Saya tidak kisah mereka ada kontrak atau tidak kerana sekarang siapa ‘bos’? Dia (Frenz United) bukan ahli gabungan FAM. Yang menggilap bakat pemain ini pada asalnya adalah CIMB-YFA, mereka ini di bawah ahli gabungan KLFA. Frenz hanya mengambil pemain ini dari CIMB-YFA jadi siapa yang berhak, biar FAM tentukan,” katanya.

Selain dua pemain terbabit, KLFA turut membuat aduan kepada FAM untuk mengenai status bekas pemain Harimau Muda B kelahiran Kuala Lumpur Amirul Ikmal Hafiz yang menyertai skuad Johor Darul Ta’zim II (Johor DT II).

-Metro

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");