Panasnya Hari Ini

Lantik Pendakwa Bebas Khas Buka Semula Kes Melibatkan Perdana Menteri

Foto:- Facebook Rafizi Ramli

KUALA LUMPUR: Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Rafizi Ramli menggesa agar Pendakwa Bebas Khas dilantik untuk membuka semula kes yang melibatkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak kerana terdapat dua asas yang kukuh untuk mendakwa berkaitan dana dari SRC International Sdn Bhd.

Kata Rafizi, penjelasan Peguam Negara, Tan Sri Apandi Ali semalam berkenaan keputusan beliau menutup kertas siasatan terhadap Najib berhubung skandal dana RM2.6 bilion dan RM42 juta dari SRC International Sdn Bhd tidak dapat diterima umum.

“Bukan sahaja alasan bahawa Datuk Seri Najib Tun Razak telah memulangkan kembali ‘derma’ yang diterimanya itu tidak masuk akal, malah ada beberapa asas yang tidak dijawab oleh beliau.

“Berhubung pemindahan dana RM42 juta dari SRC International Sdn Bhd, Tan Sri Apandi Ali seolah-olah lupa bahawa SRC International Sdn Bhd adalah anak syarikat milik penuh Menteri Kewangan Diperbadankan (MOF Inc).

“Sebab itu saya terus bertanyakan siapa yang bertanggungjawab meluluskan pemindahan dana itu dari SRC International Sdn Bhd kerana pegawai teratas yang bertanggungjawab adalah tidak lain dan tidak bukan Datuk Seri Najib sebagai Menteri Kewangan,”katanya menerusi catatan terbaharu beliau di Facebook.

Katanya, disebabkan itu, alasan yang diberikan Najib bahawa beliau tidak mengetahui tentang dana sebanyak RM42 juta itu kedalam akaun peribadinya tidak boleh menyelamatkan beliau dari dakwaan atas dua asas tersebut.

“Pertama, Mengambil kira bahawa beliau adalah pegawai teratas yang bertanggungjawab kepada keputusan SRC International Sdn Bhd di atas kapasiti beliau sebagai Menteri Kewangan, adalah mustahil beliau tidak mengetahui mengenai keputusan memindahkan dana itu. Besar kemungkinan beliau sedia maklum dan pemindahan itu berlaku dengan mendapat kelulusan mengikut prosedur Kementerian Kewangan. Jika ini keadaannya, Dato’ Seri Najib Tun Razak sepatutnya didakwa atas tuduhan pecah amanah kerana dana dari syarikat awam di bawah kawalan beliau dipindahkan ke akaun peribadi beliau.
“Kedua, Jika beliau berkeras beliau tidak tahu menahu mengenai pemindahan tersebut, ini bermakna beliau telah cuai dalam menjalankan amanah sebagai pegawai teratas yang bertanggungjawab menguruskan syarikat awam iaitu SRC International Sdn Bhd. Dalam keadaan ini, Dato’ Seri Najib Tun Razak juga sepatutnya didakwa di atas tuduhan cuai dan lalai dalam menjalankan tanggungjawab sehingga menyebabkan kerugian dana awam,”tegas Ahli Parlimen Pandan itu.

Beliau bagaimanapun merasa tidak yakin bahawa Peguam Negara sesuai untuk mengendalikan kes-kes bersabit dakwaan terhadap Najib memandangkan setakat ini, Apandi cenderung untuk menutup kes tanpa memberi penjelasan yang boleh diterima akal oleh rakyat.

Kata Rafizi lagi, beliau mencadangkan satu usaha dibuat agar Parlimen melantik seorang Pendakwa Bebas Khas dari kalangan pengamal undang-undang yang bebas dan berintegriti untuk membuka semula siasatan terhadap Najib dan meneliti kertas siasatan SPRM dan Bank Negara setakat ini.

“Saya akan berbincang dengan ahli-ahli Parlimen yang berlatarbelakangkan undang-undang untuk merangka satu usul dan usaha membawa perkara ini ke sidang Parlimen yang seterusnya dalam Mac 2016,”tegasnya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");