Sukan Hari Ini

LTdL 2016 tanpa lokasi tradisi

PUTRAJAYA – Lapan peringkat perlumbaan berbasikal jelajah Le Tour de Langkawi (LTdL) 2016 dari 24 Februari hingga 2 Mac ini akan berlangsung tanpa beberapa tempat laluan tradisinya seperti Dataran Merdeka, Genting Highland dan Terengganu.

Juga masih tanpa Langkawi seperti lebih lima tahun lalu, edisi ke-21 sejauh 1,182.4 kilometer itu sebaliknya akan menggunakan pendakian sukar di Balik Pulau dan Tanjung Bungah, Jambatan Sultan Abdul Halim Muadzam Shah selain berakhir di Melaka.

Kelewatan mendapatkan kelulusan tarikh daripada Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI) turut mempengaruhi pindaan jadual perlumbaan asalnya dari 6 hingga 13 Mac sekali gus menyukarkan penganjur, Cicilista Sports Sdn. Bhd. menamatkannya di Dataran Merdeka.

“Melaka dipilih kerana tarikh yang diberikan UCI agak unik. Sebelum ini kami mohon hujung minggu Sabtu (mula) dan Ahad (tamat) tetapi kami dapat tahun ini, Rabu (24 Februari) ke Rabu (2 Mac).

“Dengan tarikh itu, (LTdL) tidak boleh ditamatkan di Dataran Merdeka kerana Rabu bukan tarikh sesuai berbanding keadaan lalu lintas yang baik di Melaka (ketika itu namun) ini peluang baik mempromosi Melaka kerana laluannya melibatkan kawasan bersejarah,” kata Ketua Pegawai Eksekutifnya, Emir Abdul Jalal.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas Majlis Pelancaran Imej dan Pengumuman Laluan LTdL 2016 oleh Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin di Menara Kementerian Belia dan Sukan di sini, semalam.

Tarikh LTdL 2016 juga terpaksa diawalkan kerana mengelak bertembung dengan dua perlumbaan besar di Eropah dan Ekspo Berbasikal Taiwan yang tidak dapat dipinda menurut Kesatuan Berbasikal Asia (ACC).

“Strategi awal kami (6 hingga 13 Mac) sudah betul kerana pelumba yang disasarkan ketika itu baru habis Tour of Oman tetapi apabila kelulusan UCI lewat diperoleh (hampir tiga minggu), tarikhnya pula perlu dipinda,” kata Emir.

Ditanya mengenai tiadanya Terengganu sedangkan ramai pelumba kebangsaan berasal dari situ, katanya: “Kami mahu cuba menggilirkan laluan di negeri lain (Pantai Barat kali ini). Bukanlah satu isu besar (tanpa Terengganu) dan kami akan kembali ke sana tahun depan.

“(LTdL 2016) tetap melibatkan lapan negeri dan dua wilayah persekutuan iaitu yang terbanyak.

“Walaupun masih tanpa Langkawi, kami tetap sediakan dokumentari lima minit untuk siaran TV antarabangsa mengenai pulau Kedah itu, bila dan di mana perlumbaan ini bermula.

“Kami rasa lebih baik buat dokumentari Langkawi yang mempromosinya ke dunia daripada hanya adakan satu perlumbaan di situ. Satu piala yang mempunyai ikon Dataran Helang Langkawi juga akan dipertandingkan.”

Emir memberitahu, LTdL bakal menyaksikan kehadiran 3 pasukan Pro Tour dan 6 pasukan Pro Kontinental selain 11 pasukan Asia dengan dua lagi dari benua itu bakal mengesahkan penyertaan mereka, sedikit masa lagi.-Utusan

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");