Berita Hari Ini

Malaysia sahaja negara yang bawa TPP ke Parlimen

KUALA LUMPUR – Malaysia satu-satunya negara yang membawa perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPP) ke Parlimen untuk kelulusan sebelum menyatakan keputusan penyertaan atau tidak terhadap perjanjian perdagangan bebas itu.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (Miti), Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, 11 negara TPP yang lain telah membuat keputusan menyertai perjanjian itu.

“Kesemua negara lain telah membuat keputusan untuk pergi ke Auckland, New Zealand, 4 Februari ini bagi menandatangani perjanjian kerana ia tidak memerlukan kelulusan badan legislatif negara mereka.

“Bagi Malaysia, kita akan membuat keputusan sama ada untuk sertai TPP atau tidak, hanya selepas ia dibahaskan dan diputuskan oleh Dewan Rakyat dan Dewan Negara,” katanya ketika membentangkan usul mengenai perjanjian TPP, di Dewan Rakyat, hari ini.

Ahli Dewan Rakyat akan membahas dan mengundi mengenai TPP dalam sesi khas dua hari bermula hari ini.

Menurut Mustapa, langkah diambil kerajaan itu untuk menunjukkan bahawa pemerintah hari ini menghormati pandangan ahli-ahli Parlimen di negara ini.

Dalam hujah sama, beliau memaklumkan bahawa Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak turut menunda mesyuarat Kabinet esok kepada hari Jumaat.

“Ini mencerminkan bahawa seluruh kerajaan bersatu dan sependapat bahawa isu ini amat penting untuk dibahaskan di Parlimen untuk kelulusan.

“Tindakan kerajaan untuk membentangkan sebuah triti antarabangsa kepada Dewak Rakyat dan Dewan Negara adalah satu tindakan yang tidak pernah berlaku dalam sejarah,” katanya.

Menurutnya lagi, dari sudut Perlembagaan, Bab 3 Perkara 39, kerajaan sebenarnya berhak untuk menandatangani perjanjian antarabangsa termasuk TPP tanpa perlu dibawa ke Parlimen.

“Namun sebagai kerajaan yang menghormati demokrasi, TPP dibentangkan ke Parlimen hari ini kerana ia perjanjian bebas terbesar di dunia paling komprehensi berbanding perjanjian perdagangan bebas lain yang ditandatangani Malaysia.

“Ia meliputi banyak perkara selain dari hal-hal berkaitan tarif dan mempunyai kesan besar kepada negara,” katanya.

-Sinar Harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");