Panasnya Hari Ini

MKN: Hak Asasi Manusia Di Malaysia Akan Mundur

Foto:- The Malaysian Insider

KUALA LUMPUR: Pengerusi Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (SUHAKAM), Tan Sri Hasmy Agam menyifatkan Malaysia akan mengalami kemunduran dari segi hak asasi manusia sekiranya Rang Undang-Undang (RUU) Majlis Keselamatan Negara (MKN) 2015 dijadikan sebahagian daripada undang-undang Negara.

Katanya, beliau melihat hak asasi manusia di Negara ini sekurang-kurangnya dalam tempoh lima tahun lalu dan sehingga ke hari ini, beliau tidak menyaksikan perubahan besar.

Memetik laporan The Malaysian Insider, Hasmy berkata, langkah positif yang diambil oleh kerajaan seperti memansuhkan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) kemudiannya dibatalkan apabila kerajaan menggubal undang-undang baharu bagi menyekat kebebasan awam.

“Setakat ini, kita (Malaysia) tidak banyak melakukan perubahan besar. Walaupun terdapat beberapa perkembangan positif seperti pemansuhan ISA, terdapat juga perubahan yang meletakkan kita jauh ke belakang dalam hak asasi manusia.

“Contohnya, Akta Pencegahan Keganasan 2015 (POTA) dan Akta Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (SOSMA) serta Akta Hasutan yang diteruskan (kini diperkukuhkan) dan lulusnya RUU MKN.

“Sekiranya ia (RUU) menjadi undang-undang, ia akan meletakkan kita sebagai sebuah Negara yang makin terkebelakang dalam konteks hak asasi manusia dan urus tadbir yang baik,”katanya.

Terdahulu, RUU MKN telah diluluskan oleh Dewan Rakyat dan Dewan Negara menyaksikan bahawa Perdana Menteri, selaku pengerusi majlis, mengisytiharkan sesuatu kawasan itu sebagai zon keselamatan.

Kuasa ini disifatkan oleh rakyat sebagai ‘kuasa ala darurat’ dan ianya bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan dimana sudah dinyatakan bahawa hanya Yang di-Pertuan Agong sahaja yang mempunyai kuasa bagi mengisytiharkan darurat.

Terdapat beberapa pengkritik berkata, RUU keselamatan itu telah memberikan kuasa penuh kepada Perdana Menteri tanpa perlu mendapat persetujuan istana ketika negaa berada di dalam krisis.

MKN juga boleh membenarkan carian, rampasan harta dan tangkapan di kawasan keselamatan tanpa waran.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");