LANGKAWI – Malaysia perlukan pelancongan massa dan pelancongan mewah untuk menggiatkan lagi pembangunan ekonomi, dan kerajaan bersedia untuk menjadikannya kenyataan, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib? Tun Razak.
Beliau berkata, kerajaan perlu menyediakan perancangan untuk memenuhi keperluan bagi kedua-dua kumpulan dan Langkawi, sebagai satu daripada destinasi pelancongan utama di negara ini, boleh menawarkan potensi bagi pelancongan massa dan pelancongan mewah.
“Saya melihat Langkawi sebagai permata yang amat bernilai kepada negara,” katanya dalam ucapan pada majlis menyambut ketibaan penerbangan pertama AirAsia dari Guangzhou, China ke Langkawi di Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi di sini hari ini.
Turut hadir Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir; Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiow Lai; anggota Exco kerajaan negeri Kedah, Datuk Mohd Rawi Abdul Hamid; Ahli Parlimen Langkawi, Datuk Nawawi Ahmad; Pengerusi Eksekutif AirAsia Berhad, Datuk Kamarudin Meranun, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia, Tan Sri Tony Fernandes dan Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Berhad, Aireen Omar.
– Bernama