Isu Panas

Pas Perak tak terkesan Isu kerjasama Umno

IPOH – Pas Perak memberi jaminan, ahli dan penyokong parti di peringkat negeri, tidak terkesan dengan isu kerjasama Umno yang diperkatakan umum.

Pesuruhjayanya, Razman Zakaria berkata, keadaan sama juga berlaku terhadap dakwaan kononnya parti itu ada menerima dana politik yang menjadi sebahagian daripada RM2.6 bilion.

“Ia hanya bersifat fitnah untuk mengaitkan Pas dalam isu ini.

“Dana RM2.6 bilion tu, kita pun tak tahu atas kes apa, bagi pada siapa, kalau benar ada beri pada Pas, rasanya boleh cek dalam akaun untuk buktikan,” katanya ketika dihubungi, di sini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas pendedahan Naib Presiden Pas, Idris Ahmad yang mengatakan, terdapat cubaan menyebarkan maklumat kononnya, parti itu menerima dana politik RM120 juta.

Razman berkata, setakat ini, pihaknya belum lagi menerima sebarang aduan atau rungutan daripada ahli di peringkat kawasan berhubung isu berkenaan.

“Orang pun tahu perkara ini tidak benar dan ia bukan satu isu besar, dalam hal ni, jangan katakan nak dapat duit, nak salam tangan pun susah,” katanya.

Dalam perkembangan sama, beliau mengulangi pendirian, bersedia untuk menjadi parti tunggal dalam menghadapi pilihan raya umum akan datang.

Katanya, Pas membina hala tuju sendiri pada PRU14 ini sepertimana sebelum gabungan bersama Pakatan Rakyat dahulu.

“Tak ada kerjasama dengan DAP lagi, PKR pun masih belum nyatakan pendirian mereka, kita atur gerak secara sendiri untuk pilihan raya ini.

“Dari dulu pun kita bertanding sendiri, tak pakai logo lain, tetap Pas jadi ia bukan satu masalah.

“ Saya yakin, orang Melayu dan bangsa lain yang meyakini prinsip Pas akan memberi tempat kepada parti ini,” katanya.

Pada PRU13, Pas Perak ketika itu masih bersama Pakatan Rakyat bertanding di 22 kerusi Dun dan menang lima kerusi termasuk Changkat Jering melalui Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin yang kini menyertai Parti Amanah Negara (Amanah).

Empat lagi kerusi adalah Dun Gunung Semanggol, Selinsing, Titi Serong dan Gunung Rapat.

-Sinar Harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");