Membawang Hari Ini

Peminat rindu ‘Raja Funfair’

Sudah lama XPDC tidak menghiburkan peminat di Pulau Pinang. Konsert terakhir mereka di negeri itu ialah pada awal tahun 2000 lalu.

Justeru, kemunculan Ali (penyanyi), Izo (gitar), Eddie (bass), Lola (dram) dan pemain gitar undangan, Arif mengadakan persembahan sempena Pesta Pulau Pinang, baru-baru ini berjaya mengundang kehadiran ramai peminat.

Hampir 15,000 peminat hadir bagi melepaskan kerinduan terhadap kumpulan bergelar ‘raja funfair’ era muzik rock 1990-an ini yang sememangnya dikenali menampilkan persembahan mantap di atas pentas.

Mereka hadir sejak lewat petang bagi menantikan persembahan istimewa XPDC yang bermula pada jam 11 malam dan berakhir jam 12.30 tengah malam.

Ali berkata, XPDC menyampaikan lebih 20 lagu antaranya Sakinah, Teman, Semangat Perjuangan Harmoni dan Semangat Yang Hilang yang turut dinyanyikan bersama peminat dari awal hingga akhir.

“Sejak ditawarkan buat persembahan Oktober lalu, kami terus jalani latihan agresif untuk hasilkan yang terbaik dalam persembahan ini. Apatah lagi ia seakan-akan mengembalikan nostalgia lama kami.

“Konsert kami di Pulau Pinang pada 2000 dulu dibuat ketika kelahiran album Samurai. Berbanding dulu, lokasi konsert Pesta Pulau Pinang sekarang dibuat dalam dewan apabila melihatkan kehadiran peminat yang ramai, perasaan kami bercampur baur gembira dan terharu.

“Tak sangka, peminat menunggu XPDC sejak berita kemunculan kami dihebahkan kepada mereka. Peminat ini bukan saja dari Pulau Pinang tapi dari Kedah, Perlis dan Kuala Lumpur,” katanya.

Menurutnya, antara faktor yang menarik peminat hadir menyaksikan persembahan mereka disebabkan kemantapan permainan muzik anggota XPDC yang tidak perlu dipertikaikan lagi.

“Penganjur sendiri kata sudah lama menanti gandingan saya dengan XPDC. Peminat pula rindu dengan nostalgia lalu yang ‘layan’ persembahan kami.

“Bagi saya, kejayaan persembahan kami kerana latihan yang dibuat secara berterusan sebelum sesuatu persembahan. Saya memang serius ketika latihan kerana dari situ dapat kesan kelemahan,” katanya.

Izo yang juga ‘mastermind’ XPDC pula mengakui kekuatan vokal Ali serta anggota lain berjaya memberikan kepuasan kepada peminat.

“Kami banyak buat konsert besar dengan Ali antaranya di Pulau Pinang, Shah Alam, Selangor dan Stadium Merdeka. Malah gelaran ‘raja funfair’ juga diperoleh ketika XPDC bersama Ali.

“Jadi, peminat nak tengok semula gandingan kami Kalau ikutkan, malam sambutan tahun baru menyaksikan banyak persembahan secara percuma di pelbagai lokasi, tapi konsert kami berbayar dan kehadiran peminat sangat membanggakan.

“Saya dapat buat kesimpulan peminat sekarang dah cerdik menilai persembahan siapa yang bagus. Mereka buat pertimbangan ini menerusi video yang dimuat naik menerusi YouTube,” katanya.

Izo berkata, anaknya Arif ditampilkan sebagai pemain gitar undangan kerana XPDC mahu menampilkan muzik yang padat seperti mana dalam album.

Selepas Pulau Pinang, XPDC akan meneruskan konsert bergerak di Tawau, Sabah pada 29 dan 30 Januari ini.

-Metro

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");