Kuantan: Pengurus syarikat pembalakan didenda RM20,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini, selepas mengaku bersalah atas pertuduhan pilihan memberi rasuah RM10,000 kepada renjer hutan untuk mengelak tindakan undang-undang berhubung kesalahan memindah dan mengeluar kayu balak dari tanah rizab pada Oktober tahun lalu.
Hakim Habibah Mohamed Yusof menjatuhkan hukuman itu terhadap Pee Hong Seng, 40, dari Taman Yayasan, Segamat, Johor dan memerintahkan tertuduh dipenjara lima bulan, jika gagal membayar denda.
Mengikut pertuduhan pilihan, Pee didakwa memberi rasuah wang tunai itu kepada renjer hutan dari Unit Penguatkuasaan Pahang Barat, Rotan Tunggal, Raub, Dahalan Yusof sebagai dorongan untuk tidak ditahan atau diambil tindakan kerana memindah dan mengeluar kayu balak dari tanah rizab.
Lelaki itu didakwa melakukan perbuatan itu di bilik 106, Hotel Inderapura Jerantut, jam 6 petang, 22 Oktober 2015.
Dia didakwa mengikut Seksyen 214 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
-Metro