SIMPANG PULAI: Seramai sembilan penumpang sebuah bas ekspress terselamat selepas bas yang dinaiki mereka terlibat dalam kemalangan di KM286.5 lebuhraya arah selatan, di sini, awal pagi tadi.
Menurut jurucakap, Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Simpang Pulai telah menerima panggilan daripada orang awam sekitar jam 1 pagi.
“Setibanya jentera di tempat kejadian, mendapati berlakunya satu kemalangan jalan raya melibatkan sebuah bas ekspress telah merempuh sebuah kereta yang berada di lorong kecemasan selepas terbabas akibat tayar pecah.
“Pemandu dan penumpang kereta tersebut terselamat kerana keluar lebih awal setelah kereta yang dinaiki terbabas dan melanggar pembahagi jalan,” katanya.
Mengulas lanjut, bas ekspress yang membawa sembilan penumpang terselamat dan semua mangsa tersebut dibawa oleh bas lain menuju ke Johor Bahru.
“Anggota telah bertindak membuat pemantauan di lokasi kejadian tersebut untuk memastikan keadaan benar-benar selamat sebelum bertolak balik ke balai,” ujarnya.
Operasi yang diketuai oleh PBK II Mohamad Norman itu tamat pada jam 1.34 pagi.