Membawang Hari Ini

Percaturan Afdlin Shauki

NAMA figura ini dalam industri seni sememangnya tidak perlu diperkenalkan lagi. Mula menceburi bidang seni sejak 25 tahun lalu, sudah pelbagai onak duri, ranjau, sepak terajang industri seni dilalui lelaki berusia 44 tahun ini.

Namun segala dugaan itu tidak pernah sekali pun menjadi batu penghalang untuk dia terus aktif di dalam bidang seni, sebaliknya pengalaman tersebut mengajarnya untuk menjadi lebih kuat dan matang.

“25 tahun di dalam industri, saya tak dapat nafikan banyak pahit manis yang saya dah lalui.

“Antara yang pahitnya tentulah kehilangan teman baik saya, Allahyarham Harun Salim Bachik, Din Beramboi, yang pergi pada saya secara mengejut.

“Yang manisnya seperti memenangi anugerah Pengacara TV Terbaik di Asian TVAward, buat persembahan di London bersama Datuk Sheila Majid.

“Paling indah bila orang hargai apa yang anda lakukan, tapi dalam masa sama, duit tak ada dalam poket,” ujar pemilik nama penuh Afdlin Shauki Aksan kepada Zass.

Dek pernah merasai betapa susah untuk mendapatkan duit, dan beberapa peristiwa yang berlaku di Gaza, Syria, menimbulkan keinginan buat Afdlin memberikan bantuan berterusan kepada mereka yang memerlukan.

Ujar Afdlin, dia melahirkan rasa syukur setelah permohonannya untuk menubuhkan Yayasan Afdlin Shauki telah diluluskan.

Jelasnya, yayasan tersebut ditubuhkan untuk membantu mereka yang memerlukan tidak kira di dalam mahupun luar negara.

“Secara spesifiknya, menerusi yayasan ini, saya mahu membantu keluarga pelawak yang memerlukan bantuan.

“Dari skop besarnya saya juga berhasrat untuk membantu golongan gelandangan, anak yatim, Orang Kelainan Upaya (OKU), sahabat seagama yang memerlukan bantuan.

“Dan saya juga berhasrat untuk menghulurkan bantuan kepada rakyat di Gaza dan Syria yang sangat memerlukan bantuan berterusan daripada kita,” katanya.

Belum bersedia untuk berbicara sepenuhnya mengenai yayasan tersebut, Afdlin dalam masa berkongsi perkembangan perniagaannya apabila membuka sebuah cafe di Johor Bharu yang dinamakan Comedy Planet.

Ujar anak kelahiran Johor Bharu ini, istimewanya cafe ini nanti akan membariskan barisan pelawak selaku pelayan yang dalam masa sama akan membuat persembahan pada setiap malam.

“Pelawak ini bukanlah pelawak terkenal, tapi mereka yang saya saring untuk bekerja sebagai pelayan dan dalam masa sama boleh menghiburkan pelanggan.

“Mereka ini nanti turut berpeluang untuk menceburi bidang seni dan menimba pengalaman dengan saya suatu hari nanti.

“Kalau nak tahu bagaimana mereka menghiburkan pelanggan, kenalah datang ke cafe Comedy Planet,” katanya.

Biarpun sibuk dengan yayasan dan cafe yang baharu di buka, Afdlin berkata, ia bukan alasan untuknya mengabaikan perniagaan Seluar Pelikat (Pelikat Pants) yang kini menerima sambutan hangat di seluruh negeri.

Jelas Afdlin, tidak lama lagi, seluar pelikatnya itu akan keluar dengan rekaan baharu dan dia turut memperkenalkan produk baharu iaitu, Tudung Transformer.

“Kalau nak tahu rekaan dan bagaimana rupa tudung transformer, kena tunggu dan lihat. Segala perkembangan saya akan kemas kini menerusi laman sosial nanti,” katanya.

Kembali mengarah

Namun di sebalik kesibukannya dengan yayasan dan cafe yang baharu dibuka, Afdlin berkata, ia bukan memberi petanda bahawa dia sudah mengundur dari bidang seni, biarpun kini lebih banyak terlibat dengan kerja belakang tabir.

Akuinya, entah mengapa, dia sudah tidak menerima sebarang tawaran berlakon termasuk dari rakan seangkatan.

“Tak apa saya tak sakit hati walaupun tak dipanggil berlakon.

“Jadi atas sebab itu saya akan kembali mengarah filem saya sendiri dan berkemungkinan kembali berlakin sebab tak ada orang panggil saya berlakon (ketawa).

“Bagaimanapun apa naskhahnya masih lagi saya fikirkan,” katanya.

Tambah Afdlin, buat masa ini, dia sibuk dengan program-program terbitan syarikat produksinya, Vision Works, seperti Juara Parodi.

Lahir kebimbangan

Bagaimanapun di sebalik keinginannya untuk kembali mengarah, Afdlin turut melahirkan kebimbangan dengan senario industri pada masa kini yang disifatkan semakin membimbangkan.

“Industri kita sebenarnya terbahagi kepada beberapa peringkat seperti filem, TV, muzik, lawak.

“Industri filem bagi saya tenat, sangat tenat kecuali kejayaan filem Polis Evo tahun lalu, tapi filem-filem lain kebanyakannya rugi dan tidak balik modal pun.

“Industri TV sihat, drama banyak yang dapat sambutan, tapi syarikat produksi tak untung besar pun. Kalau nak jadi kaya jangan jadi produser TV (ketawa).

“Industri muzik sihat, walaupun album tak laku sangat, tapi dari segi tawaran persembahan, penjualan lagu menerusi online saya kira agak membantu penyanyi kita.

“Industri lawak juga sihat, tapi saya meramalkan industri lawak tidak mustahil akan merundum sekiranya pelawak tak buat kajian, tak ubah sikap untuk jadi lebih profesional,” jelasnya.

Dek kerana itu, Afdlin berharap, semua penggiat seni tidak kira di industri mana dia berada akan bersatu padu untuk memastikan industri kreatif akan terus berkembang dan kembali sihat untuk jangka masa yang panjang.

-Sinar Harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");