PEMAIN pertahanan Tok Gajah, Nejc Potokar tidak mahu dibayangi oleh bekas ‘kereta kebal’, Damion Delano Stewart biarpun sedar kelibat pemain kelahiran Jamaica itu banyak membantu pasukan itu untuk tiga musim (2013-2015).
Sudah menjalani latihan bersama skuad kendalian Ahmad Shaharuddin Rosdi sejak minggu lalu, pemain kelahiran Slovenia itu sedar kemampuan Stewart yang pastinya memerlukan dirinya menyamai ataupun lebih daripada pemain tersebut.
Bekas pemain Slaven Belupo itu ketika ditemui Sinar Harian di padang latihan Taman Gelora di Kuantan memberitahu, dia ingin tampil dengan aksi terbaik untuk memastikan benteng pertahanan pasukan itu ampuh dalam saingan Liga Malaysia musim ini.
“Saya sedar pastinya peminat akan membandingkan dengan bekas pemain sebelum ini (Stewart) tetapi ia bukan halangan dan menyebabkan saya tertekan.
“Sebaliknya, ia menguatkan lagi semangat saya untuk tampil lebih baik dan dapat membantu Pahang pada musim ini,” katanya.
Sementara itu, pemain berusia 27 tahun tersebut teruja kerana dapat beraksi bersama sebuah pasukan berjaya dan elit di negara ini seperti Pahang dan gembira kerana berpeluang di negara ini.
“Kerjasama dan reaksi rakan sepasukan dan barisan pegawai dan ketua jurulatih (Shaharuddin) amat baik dan mereka banyak membantu saya ketika latihan.
“Biarpun cuaca sedikit panas, ia tidak menghalang saya untuk menjalani latihan bersama pemain lain dan semakin hari dapat menyesuaikan diri menjelang liga bermula,” katanya lagi.
-Sinar Harian