TAIPING: Jabatan Pediatrik, Hospital Taiping berjaya membawa pulang dua anugerah utama inovasi perkhidmatan awam peringkat kebangsaan, tahun lalu hasil daripada produk inovasi S Net yang bernilai 30 sen.
Pada Majlis Persada Inovasi Perkhidmatan Awam 2015 pada November lalu, Kumpulan Yakin Boleh, salah sebuah Kumpulan Inovatif dan Kreatif (KIK) Jabatan Pediatrik, Hospital Taiping telah terpilih menggondol Anugerah Ketua Perkhidmatan Awam bagi kategori pengurusan dan Anugerah Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang (Pameran Terbaik Kategori Kementerian).
Selepas merangkul johan Konvensyen KIK Peringkat Sektor Awam Negeri Perak 2015, Kumpulan Yakin Boleh yang diketuai jururawat, Rohana Abdul Rahman dan sembilan lagi ahli tidak menyangka sama sekali mampu mengekalkan kemenangan mereka di peringkat kebangsaan kerana bersaing dengan produk inovasi yang mencecah ribuan ringgit.
“Idea penghasilan satu standard pengurusan prosedur (SOP) baharu menggunakan S Net diperkenalkan setelah kami mengenalpasti berlaku kekerapan branula tercabut dari tangan pesakit kanak-kanak berusia satu hingga tiga tahun.
“Kemasukan branula di tangan pesakit adalah untuk memudahkan pemberian IV antibiotik, IV Drip, darah serta ubat-ubatan dan sifat aktif semula jadi kanak-kanak pada usia tersebut menyebabkan branula sering tercabut,”katanya ketika ditemui.
Tambah beliau lagi, apabila branula tercabut, ianya mendedahkan pesakit kanak-kanak kepada ancaman ‘trombopheblitus’ atau pembengkakkan pada salur darah dipasang branula dan keadaan tersebut mendatangkan risiko kepada nyawa pesakit.
Mengulas lanjut, pihaknya juga mendapati tiada satu SOP khusus bagi menjamin pemasangan branula sehingga kini.
Rohana berkata, setelah mengenalpasti masalah yang dihadapi, Kumpulan Yakin Boleh akhirnya mengenalpasti penggunaan anduh berjaring (net) mampu menyelesaikan pencarian satu SOP berkesan bagi menjamin pemasangan branula terhadap pesakit kanak-kanak.
Menurutnya, fungsi asal Net sebenarnya adalah digunakan untuk menutup mata bayi yang menghidap sakit demam kuning.
“Namun kami ubahsuai fungsi produk itu dengan membalutnya pada tangan pesakit kanak-kanak dipasang branula dan hasilnya amat mengejutkan kerana mereka tidak lagi berasa rimas dan cenderung untuk mencabutnya.
“Hasil percubaan itu membuka mata kami dan satu produk inovasi berasaskan Net dinamakan S Net (SOP Senang, Selesa dan Selamat) diperkenalkan untuk kegunaan Jabatan Pediatrik,”jelasnya.
Seorang lagi ahli kumpulan, Dr Amir Arsyad Sazli berkata, hasil kajian menunjukkan, selepas S Net digunakan, ianya memberi peningkatan kualiti kerja kepada kakitangan Jabatan Pediatrik kerana branula dapat dikekalkan dengan lebih lama.
“SOP baharu pemasangan branula ini membolehkan emosi pesakit kanak-kanak, ibubapa dan kakitangan hospital tidak lagi terganggu akibat kes kekerapan branula tercabut.
“Paling penting, kos penghasilan S Net hanya bernilai 30 sen seunit memberi penjimatan kos operasi hospital sebanyak 72.17 peratus berbanding penggunaan anduh sebelum ini,”katanya.
Dr Amir Arsyad berkata, lebih membanggakan, penggunaan S Net kini sudah diperluaskan ke seluruh hospital kerajaan di negeri Perak atas arahan Pengarah Kesihatan Negeri, Datuk Dr Julita Ghazali.
“Selain itu, terdapat beberapa hospital swasta sudah menyatakan minat untuk menggunakan S Net,”ujarnya.