Berita Hari Ini

Puak pelampau ancaman terbesar

PONTIAN – Usaha PDRM mencegah sebarang perbuatan jenayah tidak harus dipertikai masyarakat sebaliknya ia perlu dihargai.

Adun Benut, Datuk Ir Hasni Mohammad berkata, kehadiran polis amat penting bagi memastikan keselamatan rakyat di negara ini agar tidak diganggu mana-mana pihak termasuk puak pelampau yang merupakan ancaman terbesar masa kini.

Menurutnya, kejadian serangan bom di negara jiran baru-baru ini wajar diberikan perhatian supaya ia tidak berlaku di negara ini yang boleh menimbulkan keadaan tidak tenteram kepada orang ramai untuk menjalankan urusan seharian.

“Saya percaya keupayaan pasukan keselamatan bagi menghadapi segala ancaman kini berada di tahap tertinggi.

“Soal keselamatan tidak boleh diambil mudah kerana boleh menjejaskan aktiviti ekonomi negara jika berlaku kejadian yang menyebabkan orang ramai takut dan bimbang untuk datang ke negara ini,” katanya ketika merasmikan Karnival Polis Diraja Malaysia, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pontian di Dataran Dato Jalok, Benut, di sini, kelmarin.

Hadir sama, Ketua Polis Daerah Pontian, Superintendan Zakaria Abd Rahman; Penolong Pegawai Daerah Pontian, Joharuddin Samion dan Yang Dipertua Majlis Daerah Pontian, Suhairi Hashim.

Karnival sehari itu turut disertai dengan pelbagai pameran dari jabatan dan agensi kerajaan di bawah Kementerian Dalam Negeri serta pertunjukan T-Baton, Unit Pengesan K9, Sketsa Pencegahan Jenayah dan Pemanduan Motosikal berkuasa tinggi.

Kira-kira 500 penduduk hadir memeriahkan karnival berkenaan yang julung kali diadakan pada tahun ini, di peringkat daerah.

Hasni yang juga Exco Kerja Raya, Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, menambah, kecekapan polis juga telah meningkatkan keyakinan orang ramai termasuk pelawat dari luar.

Beliau berkata, tindakan segelintir pihak yang memperkecilkan tugas polis seharusnya tidak berlaku jika mereka sedar pengorbanan pasukan keselamatan itu.

Dalam pada itu, beliau meminta NGO agar turut memainkan peranan bagi membantu polis memberikan kesedaran kepada orang ramai berkaitan keselamatan di sekeliling mereka.

Jelasnya, penglibatan orang ramai dalam program seperti Rakan Cops, Community Policing dan pasukan Skim Rondaan Sukarela adalah kaedah bagi sama-sama mencegah kejadian jenayah setempat.

“Penglibatan orang ramai akan memudahkan mereka menyalurkan sebarang maklumat yang mencurigakan bagi membolehkan tindakan pencegahan diambil bagi mengelakkan perkara tidak diingini berlaku,” katanya.

-Sinar Harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");