Perak Hari Ini

RM100,000 Baik Pulih Jambatan Runtuh Di Kampung Bukit Torak

SELAMA: Sebanyak RM100,000 akan diperuntukan bagi membaik pulih jambatan utama di Kampung Bukit Torak yang runtuh pada Sabtu lalu bagi memudahkan perjalanan penduduk kampung tersebut.

Pengerusi Jawatankuasa Kemudahan Awam, Infrastruktur, Tenaga dan Air Negeri, Datuk Zainol Fadzi Paharuddin berkata, proses membaik pulih jambatan berkenaan dijangka akan siap menjelang hujung bulan Februari.

Tambahnya lagi, jambatan tersebut akan turut dipanjangkan menjadi 12 meter daripada panjang asal iaitu tujuh meter.

Mengulas lanjut, sungai tersebut merupakan sungai kecil sebelum ini, namun selepas projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB) dilakukan, sungai tersebut semakin besar dan lebar.

“Tindakan telah diambil oleh pihak Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) dengan membesarkan atau memanjangkan jambatan yang sedia ada untuk memastikan masalah tersebut tidak berulang.

“Difahamkan projek RTB ini masih dalam tempoh tanggungan kecacatan dan ada rekahan serta rebakan di tebing ini akan dibaiki oleh pihak kontraktor yang masih di bawah tempoh kerosakan,” katanya ketika melawat jambatan yang runtuh tersebut, tengah hari tadi.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Bukit Torak, Mohamad Razman Ibrahim berkata, pihaknya berterima kasih kepada pihak berwajib kerana mengambil tindakan pantas bagi mengatasi masalah yang dihadapi penduduk setempat.

“Sejak kejadian jambatan runtuh berlaku, bermacam-macam rungutan daripada penduduk diterima, walaubagaimanapun, saya bersyukur kerana projek ini dapat dilaksanakan secepat mungkin,”katanya.

Pada kejadian yang berlaku sekitar jam 5 petang itu, seramai 400 penduduk terputus hubungan apabila jambatan utama yang menghubungkan kampung tersebut dengan pekan terdekat runtuh.

Walaubagaimanapun, penduduk masih boleh menggunakan jalan lain tetapi ianya agak jauh dan sempit.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");