Sukan Hari Ini

Saingan kejuaraan lebih terbuka

EDISI kedua Purple League melabuhkan tirainya, Ahad lalu dengan menyaksikan Kelab Badminton Muar City meraih kejuaraan berganda.

Muar City menutup musim 2016 dengan gemilang apabila mengesahkan gelaran Cabaran Juara-Juara selepas gah menerajui saingan liga.

Penambahbaikan pengurusan membuatkan liga tersebut terus menjadi tarikan peminat sukan badminton negara, bagaimanapun kelancaran penganjuran kejohanan musim ini perlu dijadikan penanda aras supaya lebih banyak inovasi serta cetusan idea baharu diperkenalkan.

Ketua Pegawai Eksekutif Purple League Sdn Bhd, Datuk Jack Koh mengakui masih wujud ruang penambahbaikan saingan antara kelab ini.

Antaranya memberi peluang lebih banyak kelab mengambil bahagian khususnya di peringkat remaja selain mewujudkan sistem liga berbeza.

Beliau juga tidak menolak kemungkinan untuk melakukan perubahan pada liga dua peringkat untuk mengimbangi padang permainan.

“Kami harap untuk membuat liga yang lebih menarik pada musim depan, mungkin akan ada Divisyen 1 dan Divisyen 2.

“Kami juga boleh memendekkan jadual liga untuk menjadikannya lebih menarik untuk peminat,” katanya.

Selain itu, Jack yang pemain muda kebangsaan yang meraih pingat perak dalam Kejohanan Badminton Junior Dunia di Pretoria, Afrika Selatan pada 2002 juga akan membuat perubahan tempat kejohanan dengan mengadakan perlawanan di luar bandar.

“Semua perlawanan diadakan di Kuala Lumpur pada musim ini. Tetapi untuk musim baharu, kami akan mengadakan perlawanan di kawasan luar bandar, ia untuk membantu kelab mengembangkan peminat mereka,” jelasnya lagi.

Pancing pemain China

Dalam pada itu, Jack percaya Liga Purple akan terus memiliki potensi disertai pemain ternama dunia masa depan.

Walaupun dua edisi mereka gagal mendapatkan khidmat pemain negara Tembok Besar namun tidak mematahkan semangat Jack untuk terus berusaha menarik nama besar itu beraksi musim depan.

Bagaimanapun Jack menegaskan kelab yang menyertai liga harus mengukuhkan sumber kewangan terlebih dahulu memandangkan bukan mudah untuk mendapatkan khidmat pemain superstar tersebut.

“Pihak kita memang ada hantar jemputan kepada pemain bintang terutamanya dari China untuk menyertai Purple League namun atas faktor kewangan kita gagal untuk membawa mereka beraksi di sini.

“Pemain utama China meminta bayaran tinggi, disebabkan kekangan ekonomi beberapa kelab sukar mendapatkan penajaan sekali gus tidak memiliki dana yang besar.

“Walaupun gagal membawa masuk pemain tersebut namun kita turut gembira dengan penyertaan pemain bertaraf negeri dari China,” katanya.

Jack juga mahu kelab yang menyertai Liga Purple mencari inisiatif meningkatkan sumber kewangan masing-masing sekiranya mengimpikan khidmat pemain ternama.

“Kita kena pastikan semua kelab terlibat mempunyai sumber kewangan kukuh serta mampu mencari penaja dan memiliki sokongan peminat

“Bagi saya, pasukan bertanding tidak boleh bergantung kepada penajaan sahaja, mereka perlu mula cari alternatif lain seperti jualan cenderamata

“Melalui langkah ini, setiap kelab pastinya akan menjana sumber kewangan yang kukuh sekali gus mampu memikat pemain bintang,” katanya.

Pentas pemain remaja

Mengulas kerjasama yang dijalin bersama Persatuan Badminton Malaysia (BAM) selama tiga tahun, Jack mengakui gembira dengan perjanjian tersebut kerana ia mampu melancarkan penganjuran liga pada masa depan.

Jack juga menganggap saingan Purple League platform pemain mengekalkan tahap prestasi mereka di samping pendedahan kepada pemain remaja.

BAM dan Purple League memeterai persefahaman meneruskan sokongan terhadap penganjuran kejohanan selain pembabitan pemain kebangsaan.

“Ia membawa banyak manfaat seperti mana dua tahun lalu. Ia langkah yang cukup bagus kerana perancangan adalah penting dan apabila dua pihak mencapai kata sepakat, ia akan membawa manfaat kepada seluruh sistem,” jelasnya.

Jack juga memberi jaminan sistem penjadualan musim depan akan lebih tersusun bagi membolehkan pemain tidak terbeban dengan tempoh pertandingan yang begitu rapat.

“Mungkin kami harus melihat dengan lebih berhati-hati dengan jadual di mana pusingan Purple League tidak dilangsungkan,” ujarnya.-Sinar harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");