Sukan Hari Ini

Setanding kelab Eropah

Johor Bahru: Kelab Bola Sepak Johor Darul Ta’zim (Johor DT) yang kini dimiliki Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim dan menerima sumbangan RM50 juta daripada Sultan Johor Sultan Ibrahim Iskandar semalam akan ditransfromasi dengan lebih mantap terutama aspek pengurusan dan pentadbiran.

Bagaimanapun, Presiden Persatuan Bolasepak Negeri Johor (PBNJ) Datuk Ismail Karim dan Setiausaha Kehormat, Kapten Mohd Fahmy Yahya masih kekal memegang jawatan masing-masing.

Menerusi kenyataan di laman rasmi Johor Southern Tigers, Tunku Ismail adalah pegangan milikan majoriti dan peranannya selaku Penaung Diraja PBNJ tetap diteruskan.

“Johor DT akan beroperasi sebagai kelab sepenuhnya dan akan merangkumi pasukan JDT, JDT II, JDT III, JDT IV dan segala program pembangunan akar umbi serta infrastruktur berkaitan.

“Peranan PBNJ sebagai persatuan bola sepak akan berfungsi untuk mengelola apa jua pertandingan bola sepak di peringkat negeri dan kebangsaan.

“Penyeragaman ini adalah kesinambungan daripada penstrukturan semula yang dimulakan pada 2013 dan mengambil kira penswastaan Liga Malaysia (Liga M) pada masa depan,” kata kenyataan itu.

Menurut kenyataan itu lagi, polisi yang ditetapkan sebelum ini akan dikekal dan dilaksana secara berterusan.

Mengulas lanjut mengenai perkara itu, Ismail berkata ia sebagai langkah permulaan Johor DT bersiap sedia dengan langkah penswastaan Liga M oleh Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).

“Justeru, pemilikan Tunku Mahkota Johor terhadap pasukan Johor DT membolehkan kelab ini mendapat penaja seperti jutawan Malaysia, Tan Sri Vincent Tan memiliki pasukan Cardiff City FC,” katanya.

Katanya, usaha itu dilihat dapat meningkatkan taraf sukan bola sepak negara dan setanding dengan negara Eropah.

Dalam satu lagi kenyataan di laman rasmi Johor Southern Tigers, Sultan Ibrahim berkenan mengurniakan sumbangan berjumlah RM50 juta kepada Johor DT memandangkan kelab itu berjaya mengharumkan nama negeri di persada dunia.

-Metro

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");