Sukan Hari Ini

Singa Utara sedia mengaum

Kuala Lumpur: Perlis melengkapkan kuota importnya dengan membawa masuk pemain naturalisasi Indonesia Gregory Junior Nwokolo bagi mengukuhkan cabaran Singa Utara dalam kempen Liga Malaysia musim ini.

Nwokolo, 30, pemain kelahiran Nigeria dan mendapat taraf warga negara Indonesia sejak 2011 akan mengetuai jentera serangan pasukan itu bersama seorang lagi pemain import, Edward Junior Wilson.

Dua lagi pemain import pasukan yang dibimbing Dollah Salleh itu ialah pertahanan Obinna Nwaneri dan pemain tengah, Mohamadou Sumareh.

Dollah berkata, dia sudah meneliti permainan Nwokolo dan yakin pemain itu pilihan tepat untuk mengisi posisi penyerang.

“Setakat ini, daripada apa yang saya lihat, Nwokolo memiliki ciri-ciri pemain diperlukan. Dia akan bertindak sebagai penyerang pembantu kepada Wilson dan saya berharap kedua-duanya akan menemui keserasian.

“Berdasarkan rekod, Nwokolo pemain berpengalaman kerana pernah bermain di Singapura, Indonesia dan Thailand. Oleh itu, sedikit sebanyak dia sudah memahami bola sepak rantau ini,” katanya.

Nwokolo bukan asing dengan bola sepak Asia Tenggara walaupun tidak pernah bermain di Malaysia. Dia memulakan kariernya di rantau ini dengan mewakili kelab Tampines Rovers FC dan kemudian menyertai pasukan Young Lions di Singapura pada 2004 sebelum berpindah ke Indonesia.

Sejak berada di Indonesia Nwokolo bermain dengan pelbagai kelab termasuk pernah bergandingan dengan penyerang negara, Safee Sali dalam pasukan Pelita Jaya. Sebelum ke Perlis, dia beraksi untuk kelab BEC Tero Sasana FC, Thailand.

Nwokolo akhirnya menyarung jersi Indonesia sebagai pemain naturalisi dalam pertandingan kelayakan Piala Asia 2015, menentang Arab Saudi pada Mac 2013.

Mengenai persiapan Perlis, Dollah berkata, dia belum merangka sebarang strategi kerana buat masa ini lebih memberi penekanan terhadap tahap kecergasan pemain.

“Harapan seluruh rakyat Perlis ke atas saya memang tinggi, kalau boleh mereka mahu pasukan ini jadi juara Liga Perdana. Saya hanya boleh berjanji akan mencuba bersungguh-sungguh. Kalau tak juara, saya akan cuba bawa Perlis ke Liga Super musim depan,” katanya.-harian metro

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");