Membawang Hari Ini

Tahun kebangkitan Syuhada

Wan Syuhada Md Amin atau Syuhada mula dikenali apabila dinobatkan sebagai juara program Idola Kecil musim pertama pada 2008. Namun, berikutan kurang pendedahan kehadirannya di persada seni tanah air seakan-akan dipandang sepi.

Selepas sekian lama menghilang, penyanyi berusia 19 tahun ini membuat kemunculan semula dengan menyertai D’Academy Asia (DAA) yang berlangsung di Jakarta pada November lalu.

“Alhamdulillah, penerimaan penonton di sana di luar jangkaan. Saya sendiri terkejut apabila ramai peminat memberikan sokongan dan kata-kata semangat sepanjang beraksi di pentas DAA.

“Program ini sudah ada pengikut tersendiri. Jadi, apabila DAA menggabungkan peserta dari empat negara, kami yang bukan warga Indonesia turut mendapat sokongan,” katanya.

Tambah Syuhada, 2016 bakal menyaksikan kebangkitannya dalam industri hiburan tanah air dan berharap kehadirannya diterima baik peminat.

“Saya akan bekerja keras bagi mengukuhkan karier saya. Terbaru, saya rancak mempromosi single sulung berjudul Tanpa Kamu.

“Single ini ciptaan DJ Fuzz sepenuhnya. Ia mengisahkan seorang gadis yang menyukai seseorang dan cuba meluahkannya dalam lagu,” kata Syuhada.

Menurutnya lagi, Tanpa Kamu dilancarkan pada November lalu, namun rangka promosi terpaksa ditunda kerana terikat dengan DAA.

“Saya dan syarikat rakaman kini rancak dengan urusan promosi. Saya akan ke stesen radio dan menjayakan persembahan dalam beberapa acara berkaitan,” katanya.

Memilih nyanyian sebagai karier utama, Syuhada merancang mengembangkan bakatnya di Indonesia.

“Tidak salah mencuba nasib. Mungkin rezeki saya di negara sendiri tidak seberapa jadi Suria Records ada perancangan ketengahkan bakat saya di Indonesia.

“Selain itu, kemungkinan besar saya akan kembali ke sana untuk menjayakan beberapa persembahan anjuran stesen TV Indosiar,” katanya lagi.

Selain menyanyi, Syuhada yang menjadikan Datuk Siti Nurhaliza sebagai idolanya juga pernah mencanai bakat dalam bidang lakonan.

Pun begitu, gadis ini lebih cenderung meneroka bidang nyanyian berbanding lakonan.

“Selepas program Idola Kecil musim pertama melabuhkan tirai, saya menjayakan dua telefilem iaitu Idola Kecil Cinderella Story dan Idola Kecil The Series.

“Ada juga beberapa tawaran menyusul, tetapi saya tolak kerana lebih minat menyanyi. Saya tidak mahu fokus saya terganggu,” katanya yang pernah mengacarakan program Adik Di 9.

-Metro

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");