Selepas berjaya mencuri tumpuan menerusi single sulung, Nyawaku, juara Mentor Legend, Azmil Karim kini muncul dengan buah tangan baru berjudul Tanpa Dia.
Lagu ciptaan Audi Mok dan lirik oleh Shazzy itu masih mengekalkan genre balada, namun lebih rancak sedikit berbanding single terdahulu.
Jejaka berusia 24 ini menzahirkan rasa syukur apabila tampil dengan dua single dalam tempoh setahun.
“Ikut perancangan asal, setiap tahun saya akan tampil dengan sebuah single, namun apabila Nyawaku mendapat sambutan, Monkey Bone mahu saya merakamkan single ini,” katanya.
Dia yang kini dalam proses merakamkan single ketiga sedang mencari idea untuk pembikinan video muzik Tanpa Dia.
“Saya masih mencari ilham untuk video muzik ini. Insya-Allah kalau sudah dapat jalan cerita sesuai ia akan dilaksanakan tidak lama lagi.
“Mengenai single ketiga pula, kali ini saya mengetengahkan genre pop. Judulnya masih rahsia dan akan saya umumkan apabila semuanya sudah muktamad,” katanya.
Belum ada perancangan menghasilkan album, Azmil mengakui teringin merakamkan single bergenre jazz.
“Sebagai penggemar lagu jazz, saya berharap dapat merakamkan single genre itu satu hari nanti. Satu lagu pun sudah memadai kerana itu antara impian saya.
“Tidak dinafikan peminat jazz di Malaysia tidak ramai dan pasarannya pun tidak besar, tetapi saya tetap mahu teruskan hasrat ini.
“Buat masa ini biarlah saya fokus dengan apa yang masyarakat mahu,” katanya.
Berkongsi perjalanan hidupnya selepas setahun bergelar selebriti, Azmil berkata dia bangga dengan pencapaiannya setakat ini.
“Alhamdulillah karier saya berjalan lancar dan kewangan semakin stabil.
“Kalau dulu, jarang saya dapat berehat, tetapi kini saya boleh habiskan banyak masa dengan keluarga. Kewangan pun semakin stabil.
“Rumah yang saya bina untuk keluarga sudah hampir siap. Tak lama lagi boleh kami berpindah ke situ,” katanya riang.
Selain menyanyi, Azmil mengusahakan perniagaan jual beli emas sejak tiga tahun lalu.
“Saya pilih perniagaan ini kerana ia menguntungkan. Jika kita perhatikan, nilai mata wang senang jatuh, tetapi emas sebaliknya,” katanya.
Azmil berharap dapat mengembangkan kanvas seninya tahun ini dan namanya dicalonkan sebagai penerima anugerah.
“Saya harap 2016 jadi tahun rezeki saya. Biarlah kerjaya seni dan perniagaan bergerak seiring serta kehidupan saya lebih baik berbanding sebelum ini.
“Saya juga berharap karya dan bakat diterima ramai. Kalau boleh saya teringin nama dicalonkan sebagai penerima anugerah,” katanya.
-Metro