Jenayah

Tiga rumah rosak dibaling mercun

SEBERANG PERAI: Tiga rumah teres dua tingkat rosak akibat terkena letupan dipercayai mercun yang dilemparkan ke halaman sebuah rumah di Taman Sembilang, Seberang Jaya di sini, pagi semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 2.30 pagi itu, salah sebuah rumah turut dibaling dengan cat kuning yang dibungkus dalam plastik minuman.

Mangsa, Mohd Hilal Mohd Hidin, 30, ketika kejadian dia sedang menonton televisyen di ruang tamu sebelum dikejutkan dengan bunyi letupan.

“Saya terdengar bunyi motosikal berlegar-legar di hadapan rumah, namun tidak mengesyaki apa-apa kerana sudah biasa mendengar kenderaan melalui kawasan ini.

“Bagaimanapun, tiba-tiba saya ternampak seperti cahaya api dari tingkap rumah dan bergegas naik ke tingkat atas untuk menyelamatkan diri,” katanya.

Beliau kemudian mendengar dua letupan kuat dari luar menyebabkan rumahnya seakan-akan bergegar.

“Letupan itu menyebabkan tiga pintu rumah saya tertanggal, tingkap cermin pecah dan atap di bahagian hadapan runtuh selain terdapat kebakaran kecil pada pintu hadapan,” katanya.

Setelah diperiksa, tiga rumah jiran turut terkena impak letupan itu menyebabkan bumbung rumah mereka retak dan cermin tingkap pecah.

Seorang lagi penduduk, Abdul Shukor Ahmad Shahabudin, 41, sempat menolong jiran sebelah rumahnya itu memadamkan kebakaran sebelum menyedari rumahnya turut menjadi sasaran apabila dibaling bungkusan cat.

“Ketika balik ke rumah, baharulah saya sedar kesan cat kuning yang dibaling ke dinding luar rumah terkena kereta, motosikal dan lantai.

“Sebelum itu, saya hanya menyedari rumah jiran yang terkena (letupan mercun). Saya percaya, perbuatan melempar cat dilakukan serentak dengan serangan mercun itu. Saya dan Mohd Hilal bingung memikirkan kejadian ini kerana kami tiada musuh,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Rusli Mohd Noor berkata, siasatan mendapati kesan letupan itu adalah akibat mercun ‘high power’.

“Dua suspek yang menunggang motosikal dipercayai terlibat dalam kejadian itu.

“Siasatan turut mendapati motif kejadian dipercayai mempunyai kaitan dengan urusan pinjaman wang dengan syarikat tanpa lesen,” katanya.

-Sinar Harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");