KUALA LUMPUR – Presiden Amanah, Mohamad Sabu atau lebih dikenali sebagai Mat Sabu berkata Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPP) yang bakal ditandatangani kerajaan hanya akan memberikan keuntungan kepada golongan kapitalis.
“Dengan perjanjian ini, rakyat mula bimbang kapitalis daripada Amerika Syarikat akan mula memasuki negara ini sedangkan di sana, syarikat-syarikat kecil juga menolak TPP,” katanya berucap di Pusat Membeli Belah Sogo sebelum Himpunan Bantah TPP.
Dalam pada itu, Naib Presiden PKR, Tian Chua pula dalam ucapannya di Padang Merbok berkata, parti pembangkan akan tetap menolak perjanjian berkenaan memandangkan ia memberikan kesan yang buruk kepada ekonomi negara.
Beliau berkata, setiap pihak perlu bangkit bersama bagi menghalang kerajaan daripada menandatangani perjanjian itu.
“Kita perlu bersatu untuk menolak agenda yang menyusahkan rakyat,” katanya.
Dalam himpunan itu dianggarkan kira-kira 3,000 orang peserta turun padang bagi menyatakan bantahan terhadap perjanjian TPP yang akan di bahaskan di Parlimen minggu depan.
-Sinar Harian