Berita Hari Ini

TPP jadi pasport buat usahawan Bumiputera

SHAH ALAM – Usahawan Bumiputera tidak perlu khuatir sekiranya negara menandatangani Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPP) kerana ia akan menjadi pasport untuk meluaskan perniagaan mereka di 12 negara yang terlibat dalam rundingan tersebut.

Presiden Pertubuhan Usahawan Generasi Muda Berjaya Malaysia (GMB), Agil Faisal Ahmad Fadzil berkata, usahawan Bumiputera tidak perlu takut sebaliknya perlu mencari peluang dan memahami apa itu TPP.

“Sebabnya, sebagai usahawan, kita perlu inovatif dan salah satu inti pati usahawan adalah perlu mencari pasaran baharu.

“Apa yang perlu usahawan lakukan adalah peka, kreatif dan mencari peluang. Dengan TPP ini, usahawan perlu lihat sebagai peluang untuk meniaga di luar.

“Ideologinya kita akan mempunyai pasport yang sangat besar untuk kita terokai pasaran baharu seperti di Amerika Syarikat, Australia dan New Zealand,” katanya kepada Sinar Harian.

Beliau berkata, di samping itu, kerajaan juga perlu memainkan peranan penting dengan menyediakan program komprehensif bagi memperkuatkan usahawan Bumiputera untuk bersaing di peringkat yang lebih tinggi.

Katanya, program-program itu perlu dilakukan sekarang dan bukannya selepas pelaksanaan TPP.

“Malaysia merupakan sebuah negara berdagang dan kalau kita lihat, usahawan Bumiputera kurang sebagai syarikat pengeksport.

“Jadi, kerajaan perlu memainkan peranan dengan mengukuhkan usahawan ini supaya apabila mereka keluar, mereka berada dalam keadaan yang kukuh. Sebab itu pembangunan buat usahawan itu amat penting,” katanya.

Mengulas lanjut katanya, usahawan Bumiputera perlu memilih sektor perniagaan yang betul dan boleh mendatangkan pulangan kepada mereka.

“Sektor yang saya rasa boleh kita gunakan adalah industri halal. Kalau Malaysia terkenal dengan produk halal dan sijil yang diiktiraf dunia, ini adalah peluang yang boleh kita gunakan sebagai pemangkin untuk masuk ke negara TPP.

“Halal ini bukan hanya untuk makanan Muslim tetapi halal ini konsepnya menitik beratkan tentang kesucian dan kebersihan,” katanya.

Keputusan mengenai penyertaan Malaysia dalam TPP akan ditentukan menerusi persidangan Parlimen, iaitu di Dewan Rakyat dan Dewan Negara pada 26 dan 27 Januari ini.

Rundingan TPP adalah rundingan perjanjian yang melibatkan 12 negara iaitu Amerika Syarikat (AS), Peru, Singapura, Mexico, Chile, Brunei, Vietnam, Jepun, Kanada, Malaysia, New Zealand dan Australia.

-Sinar Harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");