Panasnya Hari Ini

Usaha Singkir Mukhriz Amat Mendukacitakan- Muhyiddin

KUALA LUMPUR: Timbalan Presiden UMNO Tan Sri Muhyiddin Yassin menyifatkan tindakan beberapa pemimpin UMNO Bahagian Negeri Kedah yang mendesak Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir disingkirkan daripada jawatan Ketua Perhubungan UMNO Negeri dan Menteri Besar adalah amat mendukacitakan.

Memetik sumber daripada kenyataan media di Facebook miliknya, beliau  mengikuti episod politik yang berlaku di negeri Kedah yang dilihatnya amat membimbangkan.

“Mukhriz adalah seorang pemimpin UMNO yang berkaliber dan disenangi oleh ahli-ahli parti dan rakyat.

” Malah, antara faktor kemenangan BN di negeri Kedah adalah ketokohan Mukhriz sebagai pemimpin pelapis UMNO sehinggakan YAB Perdana Menteri sendiri sewaktu kempen PRU 13 menjanjikan Mukhriz sebagai MB Kedah sekiranya BN berjaya memenangi negeri itu,” catatnya.

Tambahnya lagi sebagai seorang menteri besar yang baharu mentadbir negeri untuk tempoh yang singkat, beliau tentunya memerlukan sokongan semua pihak, terutamanya wakil-wakil rakyat dan pemimpin-pemimpin UMNO Bahagian untuk memimpin badan perhubungan negeri dan mentadbir kerajaan negeri dengan berkesan.

“Saya percaya, Mukhriz sepatutnya diberikan peluang untuk terus memimpin kerajaan negeri Kedah.

“Apatah lagi beliau adalah seorang Menteri Besar yang bersih, disenangi oleh rakyat dan tidak terpalit dengan sebarang tuduhan salah laku moral, pecah amanah dan rasuah yang boleh menjejaskan kepercayaan rakyat terhadap parti dan kerajaan negeri di bawah pimpinan beliau,” katanya lagi.

Ujarnya, sekiranya desakan supaya Mukhriz disingkirkan daripada jawatan Menteri Besar dan Ketua Perhubungan UMNO Negeri Kedah dibuat atas kepentingan politik peribadi pihak-pihak tertentu, dan bukannya atas kepentingan rakyat negeri Kedah, maka ini adalah sesuatu yang amat malang bagi rakyat negeri Kedah dan UMNO yang sedang berhadapan dengan krisis kepercayaan rakyat yang parah.

“Saya khuatir sekiranya desakan supaya Mukhriz berundur dilayan oleh pucuk pimpinan parti, maka UMNO akan semakin kehilangan hormat rakyat dan akan menghadapi cabaran yang semakin getir pada hari-hari yang mendatang.

” Kebimbangan saya yang paling besar ialah perpecahan di dalam UMNO akan bertambah ketara dan parti UMNO akan menjadi semakin lemah,” katanya.

Muhyiddin turut menyatakan kekesalan dengan mengambil kira keadaan rakyat dan negara berhadapan dengan pelbagai cabaran ekonomi yang cukup getir serta keyakinan rakyat terhadap kepimpinan kerajaan BN semakin terhakis.

“Rakyat khususnya di negeri Kedah dibebankan lagi dengan krisis politik yang jelik dan memalukan.

“Krisis yang melanda UMNO Negeri Kedah mesti diselesaikan secara penuh hikmah dan berhemah dengan meletakkan kepentingan rakyat dan parti mengatasi kepentingan peribadi,” uajrnya lagi.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");