Membawang Hari Ini

Wanns Ahmad bukan ‘tangkap muat’

SELEPAS tujuh tahun percubaannya bergelar penyanyi tidak berjaya, anak jati Pasir Mas, Kelantan ini masih yakin rezeki itu bakal menyebelahinya satu hari nanti.

Biarpun penglibatannya dalam beberapa program realiti tidak berjaya mengetengahkan namanya di dalam industri, Wanns Ahmad atau Wan Nursalam Wan Ahmad tidak berputus ada untuk terus mempertaruhkan nasibnya dalam bidang itu.

Meskipun seorang yang pemalu, ia tidak menghalang anak muda berusia 25 tahun ini berkongsi cerita mengenai perjalanannya awalnya sebelum dilamar sebagai penyanyi rakaman.

“Minat dalam bidang nyanyian mula timbul sejak kecil lagi. Atas dasar minat itu juga saya sering melibatkan diri dalam pertandingan nyanyian sejak dari bangku sekolah lagi.

“Selepas tamat sekolah, hasrat saya untuk ketengahkan bakat tidak terhenti di situ apabila saya sering mencuba nasib menyertai beberapa uji bakat dalam program realiti nyanyian namun rezeki masih belum menyebelahi saya,” katanya.

Dugaan itu tidak sedikit pun memudarkan minatnya terhadap nyanyian namun Wanns akui terpaksa akur peluangnya untuk memasuki bidang seni suara belum tiba waktunya.

“Hidup harus diteruskan dan saya harus melakukan sesuatu untuk mencari rezeki. Saya mulakan kerjaya menerusi kerja-kerja di sebalik tabir dalam sebuah produksi.

“Sambil menggalas tanggungjawab itu, saya juga berjinak-jinak dalam bidang lakonan sebagai pelakon tambahan sambil-sambil mencari peluang yang lebih baik,” ujarnya.

Berkat doa dan usaha, akhirnya peluang yang ditunggu-tunggu tiba tanpa di duga apabila dia dilamar sebagai penyanyi rakaman.

“Ketika itu saya terlibat dengan pembikinan filem Gamatisme dalam produksi Pensil Pictures sebagai krew belakang tabir. Tidak sangka pula, nyanyian saya yang sekadar suka-suka di set penggambaran telah menarik minat pihak produksi.

“Saya cuba ketengahkan lagu ciptaan saya sendiri ‘Terus Mencintaimu’ dan mereka bersetuju untuk lebih serius mengetengahkan bakat saya.

“Selepas tamat dengan penggambaran, mereka menghubungi saya untuk merakamkan lagu tersebut sekali gus menandatangani kontrak perjanjian sebagai penyanyi di bawah naungan Pensil Pictures,” jelasnya.

Cipta lagu sendiri

Enggan kehadirannya di dalam industri dilihat sebagai artis ‘tangkap muat’, Wanns bercita-cita untuk menjadi penyanyi yang mampu mencipta lagu sendiri.

“Saya sedar persaingan dalam bidang ini memang banyak dan untuk menarik lebih perhatian, kita perlu memiliki kelainan dan identiti yang tersendiri.

“Selain menyanyi, saya juga mahu dikenali dengan penyanyi yang mampu mencipta lagu sendiri,” katanya.

Dalam perkembangan terbaharu, Wanns memberitahu dia kini sibuk mempromosikan single pertamanya di samping mencari bahan baharu untuk pembikinan single ke duanya.

“Terus Mencintaimu adalah ciptaan sepenuhnya oleh saya sendiri dan susunan lagunya adalah dari komposer Bell Fatah.

“Lagu ini menceritakan tentang kekasih yang setia yang sentiasa mengharapkan insan yang disayangi kembali walaupun dia tahu tidak akan ada peluang ke dua.

“Single ini sebenarnya sudah berada di pasaran sejak tahun lalu dan selain di iTunes, Spotify ia juga telah dimainkan di corong radio tempatan.

“Alhamdulillah, walaupun tidaklah hit tapi sambutan yang diterima amat baik dan sebagai penyanyi baharu seperti saya ini adalah permulaan yang baik,” katanya sebelum mengakhiri perbualan.

-Sinar Harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");