Sukan Hari Ini

Ying Ying sasar baiki ranking

Kuala Lumpur: Perseorangan wanita negara Lee Ying Ying (gambar) mensasarkan untuk meraih lebih banyak kejuaraan antarabangsa sepanjang tahun ini selepas melakukan kejutan mara ke final Kejohanan Badminton Remaja Dunia di Lima, Peru, tahun lalu.

Pemain yang bernaung di bawah Persatuan Badminton Malaysia (BAM) itu berkata, sasaran itu sebagai usaha memperbaiki rankingnya bagi membolehkannya beraksi di kejohanan lebih besar pada masa depan.

“Oleh kerana ranking masih rendah, saya mahu beri tumpuan kepada kejohanan biasa seperti Cabaran Antarabangsa dan cuba memenangi seberapa banyak kejohanan berstatus itu.

“Apabila dapat memperbaiki ranking, saya berpeluang beraksi di kejohanan lebih besar seperti berstatus Grand Prix (GP) Emas serta Siri Super,” katanya yang kini menduduki ranking ke-185 dunia.

Pemain berusia 19 tahun itu berkata, dia juga sudah mempunyai sasaran jangka masa panjang iaitu untuk cuba layak beraksi di Sukan Olimpik 2020 di Tokyo, Jepun.

“Selain itu, saya mahu menjadi pemain perseorangan wanita pertama yang muncul juara dunia,” katanya.

Meskipun tewas kepada rakan senegara Goh Jin Wei pada aksi final Kejohanan Badminton Remaja Dunia, Ying Ying tetap berpuas hati dengan pencapaiannya sepanjang tahun lalu.

“Memang ada rasa kecewa tapi untuk saya, ia sudah satu kejayaan besar,” katanya.

-Metro

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");