Sukan Hari Ini

Zainal pikul beban berat

NAMA Zainal Abidin Hassan bukan asing dalam kalangan peminat bola sepak Selangor. Pernah menjadi legenda Selangor pada era 80-an, kepulangannya untuk melatih skuad The Red Giants bagaikan sirih pulang ke gagang dan dinantikan peminat.

Sudah tentu bagi Zainal Abidin, di bahunya terpikul tanggungjawab besar apatah lagi Selangor baru sahaja berjaya merangkul Piala Malaysia sekali gus memecahkan misi 33 tahun lalu.

Berbekalkan rekod cemerlang membantu Pahang menggondol treble pada 2014 dengan memenangi Piala Malaysia, Piala FA dan Piala Sumbangsih dijadikan azimat berguna buat Zainal Abidin kali ini untuk cuba memenangi treble buat Selangor pula.

Punya cara tersendiri

Zainal Abidin mempunyai ramuan tersendiri dalam usaha memastikan Selangor dapat mengekalkan dan menambah kejuaraan dalam saingan liga kali ini.

Baginya, sebagai seorang bekas pemain dan kini sebagai seorang jurulatih, latihan memainkan peranan penting dalam meningkatkan prestasi setiap pemain.

Karakter berbeza ditunjukkan Zainal Abidin sepanjang latihan skuad Selangor dengan latihan keras dan ketegasan yang dipamerkan pengendali itu.

“Tidak dinafikan. Saya telah melalui semua ini, selepas menjadi juara, pemain perlu meningkatkan corak permainan ke tahap lebih tinggi. Atas sebab itu saya terapkan corak latihan lebih keras.

“Pemain juga perlu sedar, pasukan lain akan hadir lebih kuat untuk merampas kejuaraan yang telah kita pegang ini,” katanya.

Selangor antara pasukan kuat

Bagi Zainal Abidin, beliau menyifatkan pasukan Selangor lebih mantap dengan barisan pemain berkaliber yang mampu memberikan keputusan baik dalam persaingan liga musim ini.

Malah, beliau menyifatkan pemain Selangor mempunyai skil yang lebih tinggi berbanding Pahang tahun lalu.

Kehadiran empat bekas pemain Pahang yang pernah dibimbing Zainal Abidin iaitu penjaga gol , Mohd Khairul Azhan Mohd Khalid , Razman Roslan, pemain sayap, R Gopinathan serta pemain tengah, Hafiz Kamal mampu memberikan impak kepada skuad Merah Kuning.

“Saya juga yakin dua penyerang import baharu Patrick Ronaldinho dan Mauro Olivi mampu memberi skuad The Red Giants suntikan kreativiti di jentera serangan,” katanya.

Harapan peminat

Menyedari harapan peminat yang mahu lebih banyak kejuaraan dikecapi, Zainal Abidin tidak mahu mensia-siakan peluang yang diberikan kepadanya.

“Setiap kali pemain Selangor masuk ke padang, saya mahu semangat yang saya rasai ketika bermain untuk skuad Merah Kuning turut sama dapat diresapi oleh kesemua pemain Selangor,” katanya.

-Sinar Harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");