Berita Hari Ini

1MDB: PAC dianggap gagal lunas kepercayaan rakyat

SHAH ALAM – Kegagalan Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) memanggil saksi tambahan dalam siasatan skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) menunjukkan institusi itu gagal memenuhi kepercayaan rakyat yang mahukan kebenaran.

Ahli Jawatankuasa PAC, Tony Pua berkata, berdasarkan hujah Pengerusi PAC, Datuk Hasan Arifin, tiada keperluan untuk memanggil saksi tambahan memandangkan 1MDB sudah banyak mengeluarkan kenyataan media sebagai penjelasan.

“Saya terkejut apabila Pengerusi PAC tidak memanggil saksi tambahan termasuk Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Tan Sri Zeti Akhtar Aziz dan bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB, Mohd Hazem Abdul Rahman.

“Menurut Hasan, keterangan Mohd Hazem tidak diperlukan kerana telah dijawab oleh Pengerusi 1MDB, Tan Sri Lodin Wok Kamaruddin dalam prosiding sebelum ini,” katanya yang dipetik dalam blog rasminya, semalam.

Tony yang juga Setiausaha Publisiti DAP mempersoalkan Lodin, mengapa PAC perlu menyiasat kemungkinan salah laku pengurusan 1MDB, sedangkan beliau hanya pengerusi lembaga pengarah, bukannya ketua pegawai eksekutif yang melaksanakan semua tindakan oleh syarikat.

Tony memberitahu, Hasan sebagai mendakwa bahawa dengan memanggil saksi tambahan ia akan melambatkan proses memuktamadkan siasatan dan menjejaskan pembentangan hasil siasatan ketika sidang Dewan Rakyat pada Mac depan.

“Kelewatan dan pembentangan adalah alasan yang tidak boleh diterima. Berkali-kali keputusan memanggil saksi utama ditangguhkan pengerusinya sejak November tahun lalu.

“Sekiranya keputusan dibuat sebelum ini, PAC boleh selesai dengan semua saksi bulan lepas,” katanya.

Dakwa Tony, Hasan sebelum ini mengatakan bahawa isu membabitkan BNM mengenai perpindahan dana berjumlah AS1.83 bilion (RM7.53 bilion) sudah dijelaskan dalam kenyataan akhbar oleh Peguam Negara.

“Adakah ahli PAC hanya perlu menerima kenyataan akhbar oleh 1MDB dan pihak lain sebagai penjelasan untuk pelanggaran tuduhan seperti didakwa BNM?

“Jika benar, maka PAC perlu dibubarkan memandangkan semua tuduhan pelanggaran termasuk pindahan luar biasa boleh dijelaskan menerusi ‘kenyataan akhbar’, pada masa akan datang,” tegasnya.

-Sinar Harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");