Berita Hari Ini

759 orang maut nahas di Perak tahun lepas

TELUK INTAN – Sejumlah 759 individu maut dalam kemalangan jalan raya pada tahun lepas di Perak berbanding 790 pada tahun 2014.

Pengerusi Jawatankuasa Kemudahan Awam, Infrastruktur, Tenaga dan Air negeri Datuk Zainol Fadzi Paharudin berkata biarpun kematian dicatatkan pada tahun lepas menurun sebanyak 31 kes, namun jumlah kemalangan jalan raya direkodkan meningkat.

“Kalau buat kira-kira daripada 759 orang yang maut, purata akan dapat dua orang yang mati sehari. Penunggang motosikal merupakan penyumbang kematian paling tinggi iaitu sebanyak 60 peratus pada tahun lalu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas program penyampaian sumbangan sijil penghargaan kepada 50 pelajar cemerlang Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) di perkarangan pejabat Dun Sungai Manik di sini hari ini.

Menurut Zainol Fadzi yang juga Pengerusi Majlis Keselamatan Jalan Raya (MKJR) Perak, statistik kemalangan yang dikeluarkan polis negeri didapati kira-kira 35,000 kes direkodkan sepanjang 2014 dan angka tersebut meningkat pada 2015 iaitu kepada 36,600 kes.

Malah kawasan yang paling banyak direkodkan kemalangan ialah di jalan persekutuan dan jalan negeri.

Dalam pada itu ketika berucap, Anggota Dewan Undangan Negeri Sungai Manik itu berkata sehingga awal Februari tahun ini sahaja, statistik menunjukkan kemalangan maut melibatkan pelajar sekolah di negeri ini adalah 68 orang berbanding tempoh sama tahun lalu sebanyak 10 orang.

“Peningkatan drastik kemalangan maut dalam kalangan pelajar sangat membimbangkan iaitu peningkatan sebanyak 580 peratus.

Kaji selidik mendapati mangsa yang maut ni sama ada tidak memakai topi keledar ataupun memakai dengan betul ketika menunggang motosikal, malah ada di antara mereka tidak mempunyai lesen memandu,” katanya.

Justeru katanya kerajaan negeri bersama jabatan serta agensi yang terlibat akan mengambil langkah sewajarnya bagi membendung nahas membabitkan pelajar, namun turut memerlukan sokongan dan bantuan pengurusan sekolah.

“Kita harap pemantauan yang kerap pihak polis ke sekolah dilakukan bagi mengesan pelajar tidak mempunyai lesen membawa motosikal ke sekolah.

Penguatkuasaan secara tegas perlu dilakukan bagi mengurangkan kehilangan lebih ramai bakal pemimpin generasi akan datang,” katanya.

– Bernama

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");