Johor Bahru: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Pangkalan Maritim Batu Pahat merampas 10 guni berisi 900 karton rokok pelbagai jenama dalam bot di Perairan Tanjung Labuh, Batu Pahat dekat sini, tengah malam tadi.
Timbalan Pengarah Siasatan Maritim Batu Pahat, Leftenan Maritim Haw Vui Fung berkata, pihaknya menerima aduan orang awam mengenai dua bot yang dipercayai sedang menjalankan aktiviti penyeludupan di perairan Tanjung Labuh.
Pada jam 12.45 tengah malam, bot ronda APMM bergegas ke lokasi kejadian dan setibanya di lokasi, anggota kami mendapati sebuah bot yang mencurigakan terus belayar melarikan diri dan meninggalkan sebuah bot gentian kaca.
“Hasil pemeriksaan ke atas bot terbabit, pihak kami mendapati terdapat beberapa guni yang dipercayai mengandungi rokok,” katanya menerusi satu kenyataan media, hari ini.
Menurut Haw, pemeriksaan berjaya menjumpai sepuluh guni rokok pelbagai jenama yang dianggarkan bernilai RM 100,373.60 termasuk enjin Mercury 30 kuasa kuda.
Beliuau berkata, semua barang rampas kemudian dibawa ke Jeti Pangkalan Maritim Batu Pahat untuk tindakan lanjut dan siasatan dibuat mengikut Seksyen 135 (1) (e) Akta Kastam 1967.
-Harian Metro