Sukan Hari Ini

Ada sinar baru

Putrajaya: Masih ada ‘talian hayat’ buat lima sukan yang digugurkan Majlis Olimpik Malaysia (MOM) bagi Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 selepas Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin Abu Bakar mahu senarai awal sukan itu dipertimbangkan semula.

Lawan pedang, judo, triatlon, bina badan dan kenu tidak mendapat tempat dalam senarai sukan yang akan dipertandingkan di Sukan SEA apabila Malaysia menjadi tuan rumah hasil mesyuarat Jawatankuasa Teknikal Sukan SEA MOM Rabu lalu.

Khairy yang terkejut dengan keputusan MOM mengumumkan senarai awal itu berkata, beberapa sukan yang digugurkan itu kemungkinan akan disenaraikan semula.

“Saya minta supaya dipertimbangkan beberapa sukan, kita memang dalam proses mendapatkan pandangan daripada beberapa persatuan sukan tapi keputusan itu diumumkan sebelum kita selesai perbincangan.

“Bagi saya , senarai ini masih senarai awal dan ada beberapa sukan yang saya rasa boleh dipertimbangkan untuk Sukan SEA,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Akademi Silat Pendekar Muda 2016 semalam.

Sebelum ini pertikaian timbul mengenai pengguguran acara sukan khususnya bina badan apabila MOM mengumumkan senarai awal hanya 34 sukan membabitkan 342 acara akan dipertandingkan pada Sukan SEA 2017.

Menurut Khairy, selaku tuan rumah mereka tetap dengan pendirian tidak menyenaraikan banyak sukan tradisi negara lain kecuali chinlone dari Myanmar kerana mahu memberi keutamaan kepada sukan bertaraf Asia, Komanwel dan Olimpik.

“Saya rasa kita sudah bagi pertimbangan chinlone dari Myanmar kerana sukan itu dipertandingkan beberapa negara di peringkat Asia Tenggara, yang lain kita tak akan pertimbangkan,” katanya.

Sementara itu beliau memuji prestasi atlet terjun negara yang kini memiliki lima atlet layak ke Sukan Olimpik Rio dan terbaru Cheong Jun Hoong.

“Kejayaan ini satu pengiktirafan kepada skuad terjun negara dan ternyata atlet terjun kita bertaraf dunia. Saya harap ini akan beri suntikan semangat kepada atlet sukan lain,” jelas Khairy.

Setakat ini hanya tujuh atlet dengan dua atlet lagi dari pelayaran dan menembak sudah menempah tiket ke Sukan Olimpik dan beliau yakin jumlah itu akan meningkat.-harian metro

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");