Kuala Lumpur: Persatuan Jurulatih Bolasepak Malaysia (PJBM) bersedia memperjuangkan nasib pengendali Terengganu yang direhatkan, Ahmad Yusof jika beliau berasa ‘dianiaya’ majikannya.
Presiden PJBM B Sathianathan berkata, Persatuan Bolasepak Negeri Terengganu (PBSNT) memang berhak untuk menentukan kedudukan Ahmad dalam pasukan Terengganu selepas mengambil kira prestasi semasa skuad Sang Penyu itu.
Bagaimanapun, jika Ahmad berhasrat melaporkan kepada PJBM, pihaknya bersedia menyiasat aduan jurulatih berkenaan dengan meneliti butiran kontrak kedua-dua belah pihak.
Seandainya wujud keraguan dan kesilapan dalam tatacara merehatkannya, PJBM berjanji akan berjuang bagi memastikan nasib Ahmad terbela.
“Terpulang kepada PBSNT kerana mereka berhak membuat keputusan demi kebaikan pasukan. Walau apapun keputusan, bagi saya mereka mesti buat dengan baik dan mengikut cara yang betul.
“Tapi kalau ada aduan dari Ahmad, kami (PJBM) akan menyiasat dengan langkah pertama mendapatkan kontraknya untuk dikaji.
“Kami akan melihat semua aspek yang ada dalam kontrak beliau. Namun macam saya katakan tadi, PBSNT mempunyai hak dalam menentukan kedudukan Ahmad.
“Cuma yang menjadi persoalan di sini, bagaimanakah bentuk bayaran pampasan kontrak akan diberikan atau sama ada beliau akan terus mendapat gaji seperti biasa dalam tempoh rehat, itu yang menjadi tanda tanya,” katanya ketika dihubungi Arena Metro, semalam.
Ahmad, 56, kelmarin menjadi mangsa pertama yang ‘direhatkan’ daripada tugasan selaku jurulatih musim ini apabila PBSNT nyata kurang gembira dengan prestasi hambar Terengganu di awal musim ini.
Susulan rekod tidak menentu dengan aksi terakhir kalah 1-3 kepada PKNS dalam pusingan kedua Piala FA baru-baru ini, selain tewas 0-1 kepada Kedah pada saingan Liga Super, membuatkan PBSNT menukar jurulatih.
Terengganu akan dibimbing sementara oleh jurulatih taktikal Mike Mulvey berkuat kuasa serta merta dengan tugasan pertama pengganti Ahmad itu bertemu juara bertahan Liga Super Johor Darul Ta’zim (Johor DT) di halaman sendiri Sabtu ini.-harian metro