Membawang Hari Ini

Bapa jadi tempat rujuk

Ke mana tumpahnya kuah kalau tidak ke nasi. Perumpamaan jelas dicurahkan kepada pendatang baru berasal dari Singapura, Lydia Izzati Jasmani, 24.

Anak ketiga daripada empat beradik ini adalah anak Jasmani Basri, 55, pelakon veteran terkenal di Singapura dan Lydia akui bapanya banyak mendorongnya untuk mengejar cita-cita sebagai pelakon.

Dek peluang lebih luas di Malaysia, pelakon drama Farhana dan Jeritan Sepi terbitan produksi Singapura itu sanggup berkelana mengikut jejak teman seperjuangan, Atikah Suhaimie bergelar pelakon di sini.

Akui pada mulanya ragu-ragu dengan tindakannya kerana aktiviti lakonannya di Singapura sedang rancak. Tapi dia berazam tahun 2016 jangan takut pada perubahan dan lakukan saja.

Diam tak diam, pengalaman Lydia dalam bidang lakonan menjengah sejak usianya sembilan tahun, namun dek usia terlalu muda, dia lebih banyak fokus pada pelajaran.

Pada usia 13 tahun, dia kembali aktif sehingga kini dan drama Jeritan Sepi yang dilakonkan pada usia 15 tahun membuka mata banyak pihak sekali gus drama itu dinobatkan drama terbaik di Anugerah Pesta Perdana 2007.

Lulusan Diploma Pelancongan dan Hospitaliti daripada Tourism Management Institute of Singapore berkata, minat mendalam terhadap dunia lakonan hadir selepas sering mengikuti bapanya ke set penggambaran.

Bapanya sering menjadi tempat untuk bertanya pendapat dan tip, manakala teman rapat pula tempat dia melihat kekurangan diri kerana mereka sering meluahkan pendapat jujur.

“Apabila berpeluang berlakon di sini, banyak perbezaan yang saya nampak. Bahasa Melayu di sini ada sedikit perbezaan tapi ia tidak menjadi masalah, manakala masa bekerja sangat panjang.

“Saya kagum dengan cara kerja kru di sini yang mampu bekerja berbelas-belas jam berbanding di sana, paling lama pun dalam sembilan jam sahaja,” katanya.

Lydia mendedahkan, kebanyakan pelakon di Singapura menjadikan kerjaya lakonan sebagai pekerjaan kedua kerana peluang yang kecil buat anak seni seperti mereka.

Malah dia sendiri pernah bertugas di Tourism Singapura secara sepenuh masa dan menjadikan bidang lakonan pula pekerjaan separuh masa.

Bapanya juga walaupun bergelar pelakon, turut menjalankan bisnes perniagaan ayam, Umairah Halal Food di Singapura sejak 1992.

“Saya sebenarnya ambil risiko datang ke sini dengan berhenti kerja di Singapura. Saya juga se­orang yang cepat rindukan keluarga sejak usia remaja.

“Sejak berada di sini, asalkan ada peluang saja, saya akan pulang ke Singapura bertemu keluarga. Saya akui masa awal-awal di sini, saya sering menangis kerinduan,” katanya semakin tabah sejak menjadikan Malaysia rumah kedua tahun lalu.

Mengenai impiannya di sini, pelakon filem Pelepas Saka yang ditayangkan di pawagam baru-baru ini akui, kadangkala sebagai insan, kita tidak tahu setakat mana kita boleh capai.

Dia percaya setiap tawaran dan projek lakonan diterima dapat membina dirinya sebagai pelakon yang bagus.

Lydia berpendapat, jolokan pelakon terbaik adalah idaman setiap pelakon namun baginya, kebolehan membawa pelbagai watak dengan berkesan adalah lebih penting.

“Saya tidaklah harapkan anugerah pelakon terbaik tapi saya pasti masyarakat mahu melihat kemampuan pelakon membawa watak yang mampu memberi kesan kepada mereka.

“Saya sukakan lakonan Nabila Huda dan Maya Karin kerana mereka sering membawa kelainan dari segi emosi dan watak. Malah saya berharap dapat bekerja bersama mereka satu hari nanti,” katanya gembira.

Lydia turut berharap dapat bekerja di bawah arahan pengarah filem popular Osman Ali dan pengarah drama, Feroz Kadir.

-Harian Metro

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");