Jenayah

Debaran 12 jam

Padawan: Sekumpulan 38 penuntut sebuah institusi pengajian tinggi awam (IPTA) terperangkap dalam banjir lebih 12 jam apabila kawasan perkhemahan mereka di seberang Sungai Teng Bukap, Jalan Padawan di sini, dinaiki air, kelmarin.

Dalam kejadian jam 8.45 malam itu, 38 daripada 59 penuntut terperangkap dalam banjir apabila paras air Sungai Teng Bukap di sini, tiba-tiba meningkat, sekali gus menenggelamkan tapak perkhemahan mereka.

Walaupun berada di kawasan perkhemahan sama, 21 penuntut lain berada dalam keadaan selamat kerana berada di lokasi agak tinggi.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Sarawak Farhan Sufyan Borhan berkata, operasi menyelamatkan penuntut terbabit berjaya dilakukan jam 10 pagi, semalam.

Menurutnya, selepas mengambil kira arus air yang agak perlahan, pihaknya memulakan kerja menyelamatkan penuntut terbabit menggunakan tali.

“Sebaik menerima panggilan kecemasan daripada polis malam kelmarin, kami pergi ke lokasi, tetapi tidak dapat menjalankan kerja menyelamat kerana arus deras boleh membahayakan mangsa dan pasukan penyelamat.

“Apabila keadaan agak reda, kami menyeberang sungai yang lebarnya 20 meter menggunakan tali untuk menyelamatkan penuntut berkenaan,” katanya.

Farhan berkata, sepanjang tempoh 12 jam itu, bomba sentiasa berhubung dengan mangsa menggunakan walkie talkie bagi mengetahui keadaan mereka, selain mengarahkan pergi ke lokasi tinggi.

“Operasi menyelamatkan mangsa selesai kira-kira jam 11 pagi tadi dan semua mangsa dilaporkan dalam keadaan selamat,” katanya.

Katanya, operasi mencari dan menyelamat (SAR) membabitkan enam anggota Balai Bomba dan Penyelamat Siburan.

-Harian Metro

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");