Sukan Hari Ini

FMLLP lantik pakar asing

KUALA LUMPUR – Isu rasuah atau sindiket mengatur perlawanan yang didakwa turut menghantui bola sepak tempatan telah memaksa pentadbir Liga Malaysia (Liga-M) untuk melantik sebuah syarikat antarabangsa yang memiliki kepakaran untuk meng­atasi masalah tersebut.

Ketua Pegawai Eksekutif Football Malaysia Limited Liability Partnership (FMLLP), Kevin Ramalingam berkata pihaknya te­lah bersedia untuk memerangi isu tersebut agar tidak menjadi barah dalam bola sepak tempatan.

Mengakui perbuatan dan sindiket mengatur perlawanan bukan lagi perkara asing dalam bola sepak tempatan, Kevin berkata pihaknya sentiasa memandang serius dan akan ber­usaha membendung gejala tidak bermoral tersebut.

“Kami sudah ada perancangan yang rapi untuk mengatasi masalah mengatur perlawanan atau bookie ini dengan terperinci. Sudah ada syarikat yang menawarkan servis memantau akti­viti mengatur perlawanan secara dalam talian.

“Buat masa sekarang kami telah mengenal pasti dua syarikat dari luar negara yang boleh menawarkan perkhidmatan tersebut. Kami akan memilih salah satu daripada syarikat tersebut untuk memantau sindiket mengatur perlawanan dalam bola sepak tempatan.

“Syarikat yang bakal dilantik itu akan memantau pergerakan atau aktiviti mengatur perlawanan di seluruh dunia secara dalam talian dan sekiranya terdapat aktiviti luar biasa, laporan akan dibuat sebelum tindakan sete­rusnya diambil,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.

Kelmarin, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi memberi amaran kepada barisan kejurulatihan serta pemain agar tidak terlibat dalam sindiket mengatur perlawanan ketika berucap dalam majlis memperkenalkan skuad Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang akan bersaing dalam Liga Super musim ini.
Ahmad Zahid merupakan penaung PDRM.

Dalam pada itu, Kevin turut memberitahu bagi mengatasi sindiket mengatur perlawanan pihak FMLLP turut menjalinkan kerjasama dengan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) serta PDRM supaya tindakan susulan dapat diambil terhadap mana-mana individu jika didapati bersalah.

“(Untuk membanteras) sin­diket ini kami (FMLLP) tidak boleh melakukannya seorang diri dan sebab itu kami perlu me­ngadakan kerjasama dengan FAM serta PDRM apabila sistem pemantauan mengatur perlawanan ini diwujudkan.

“Sistem pemantauan tersebut digunakan secara menyeluruh terutamanya di Eropah dalam usaha mereka untuk mengatasi masalah mengatur perlawanan. Sudah pasti kami memerlukan sokongan daripada pelbagai pihak untuk membendung gejala tidak moral ini,” katanya lagi.-utusan

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");