Membawang Hari Ini

Gulshan berlakon filem Malaysia

Nama Gulshan Grover lebih dikenali sebagai pelakon watak jahat di Bollywood. Sepanjang pembabitannya dalam bidang lakonan, Gulshan, 60, sudah beraksi dalam lebih 400 filem.

Bukan saja di Bollywood, bintang legenda kelahiran New Delhi, India dan dilahirkan tanggal 21 September 1955 ini antara pelakon yang mencipta nama di Hollywood.

Antara filem lakonannya sebelum ini ialah Ganga Devi, I Am Kalam Bhati, Crook S.I. Joseph Pinto, Knock Out Bapuji,Andy, Love Story 2050 Dr Hoshi, Jumbo, Cape Karma, Dhokha dan Anthony Kaun Hai?

Selain itu, Taarzan: The Wonder Car, Ek Se Badkhar Ek (2003), Boom, Dudes in the 10th Century, Lajja, Air Panic dan 16 December dan banyak lagi.

Terbaru, Gulshan dilamar produser dari Malaysia iaitu White Merpati Entertainment Sdn Bhd, S Baldev untuk beraksi dalam filem Aku Bukan Terrorist yang diterajui Zul Ariffin dan Chacha Maembong.

Selain Gulshan, filem ini turut menampilkan tiga lagi bintang filem Bollywood iaitu Rahul Dev, Farida Jalal dan Imran Shah.

Wartawan Rap berpeluang menemu bual Gulshan menerusi telefon yang diatur produksi White Merpati di Pitching Centre, Platinum Central, KL Sentral, baru-baru ini.

Menurut Gulshan, dia tertarik menerima tawaran beraksi dalam Aku Bukan Terorist kerana ingin melebarkan sayapnya di Malaysia.

“Saya sudah 10 kali berkunjung ke Kuala Lumpur termasuk ketika Anugerah Akademi Filem Antarabangsa India (IIFA). Saya tertarik dengan keramahan rakyat negara ini.

“Saya mahu datang lagi ke Malaysia dan bertemu peminat yang menyokong filem lakonan saya selama ini.

“Diharap filem ini dapat mengubat kerinduan mereka terhadap saya,” katanya.

Ditanya sama ada dia menerima tawaran berlakon di sini kerana bayaran lumayan, Gulshan menafikannya.

“Apa yang penting bagi saya bukan bayaran, tetapi mesej dalam filem ini dapat disampaikan ke seluruh dunia, sekali gus mengeratkan lagi hubungan diplomatik antara India dan Malaysia.

“Selain di negara sendiri, saya juga pernah berlakon di Hollywood. Kali ni saya dapat menimba pengalaman berlakon dalam filem terbitan produksi dari Malaysia pula,” katanya.

Mengulas lanjut filem itu, kata Gulshan, dia suka de­ngan watak yang ditawarkan.

“Saya menjayakan karakter Abu Zar yang sudah dua dekad bergelumang dalam dunia gengster. Dia turut membantu keluarga Maulana Kabira, ketua pengganas di Kashmir.

“Abu Zar menyebabkan keluarga Ummar, lakonan Zul Ariffin berpecah-belah sehingga memaksa anak muda itu pergi ke Malaysia untuk menjalani kehidupan lebih selamat selepas kematian bapanya.

“Walaupun sudah lama berlakon, saya tidak ada masalah bekerja dengan pengarah muda kerana percaya mereka ada idea segar untuk jadikan naratif lebih menarik,” katanya.

Filem Aku Bukan Terrorist akan menjalani penggambaran selama 40 hari di Kuala Lumpur dan selebihnya di Kashmir.

Ia turut membabitkan 30 pelakon pembantu dari Kashmir. Barisan pelakon dan kru produksi dijangka berangkat ke Kashmir pada penghujung April nanti.-harian metro

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");