Sukan Hari Ini

‘Gunners perlu lebih tajam’

London: Arsene Wenger (gambar) mengaku pasukannya perlu lebih garang ketika menentang Barcelona berbanding apa yang mereka persembahkan pada pertemuan dengan Hull apabila juara bertahan Liga Juara-Juara itu bertandang ke Stadium Emirates, awal pagi Rabu ini.

Skuad kendalian Wenger kecewa apabila mereka seri tanpa jaringan dengan kelab divisyen dua, Hull City pada pusingan kelima Piala FA menjelang perlawanan pertama pusingan kedua Liga Juara-Juara menentang kelab Catalunya itu.

Kombinasi kecemerlangan penjaga gol Hull Eldin Jakupovic disulami kegagalan Arsenal untuk mencipta lebih banyak peluang bermakna kedua-dua pasukan perlu mengharungi perlawanan ulangan selepas ini.

“Kami perlu lebih tajam di suku ketiga perlawanan kerana kami memiliki lebih 70 peratus penguasaan dan kami tidak akan beroleh angka sebegitu ketika menentang Barcelona,” kata pengurus Arsenal Wenger.

“Justeru, ia bermakna kami tidak mempunyai pilihan kecuali menjaringkan gol pada setiap peluang kerana kami tidak akan dapat memegang bola dalam peratusan tinggi,” ujar Wenger yang mahu muncul kelab pertama sejak abad ke-19 muncul juara Piala FA tiga kali berturut-turut.

“Saya gembira dengan perlawanan hari ini tapi sudah tentu aksi menentang Barcelona lebih mengujakan,” kata pengendali Perancis berusia 66 tahun itu.

“Kami turun selaku pilihan (menentang Hull) dan tidak akan menjadi pilihan ketika menentang Barca. Justeru, kami perlu bertahan dengan baik sambil menggunakan sepenuhnya peluang yang ada kerana kami tidak berbuat demikian hari ini.”

Wenger membuat sembilan perubahan ke atas skuadnya dan tidak menyenaraikan Mesut Ozil serta Aaron Ramsey pada perlawanan menentang Hull. -AFP/harian metro

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");