Membawang Hari Ini

Hambar, membosankan!

Awalnya juri dan penonton di Dewan Teater Diraja Selangor, Shah Alam serta penonton di rumah seakan-akan teruja dengan tema Bollywood yang ditampilkan pada minggu ketiga Maharaja Lawak Mega (MLM) 2016, Jumaat lalu.

Bagaimanapun, menghampiri pertengahan pertandingan, suasana bosan mula dirasakan kerana setiap peserta menampilkan idea sama.

Mereka sinonim memilih berpakaian wanita dan meng­gunakan watak bernama Rahul serta lagu yang sinonim dengan filem Hindi popular.

Bahkan, tidak keterlaluan dikatakan persembahan peserta sangat hambar dan menghampakan juri serta peminat.

Sikap mereka yang seakan-akan hilang arah dan mengambil mudah tema ini mendapat kritikan juri tetap Najip Ali yang mengakui kurang senang melihat peserta asyik berpakaian wanita.

Begitu juga dengan juri tetap Shaheizy Sam yang menganggap peserta tidak bersungguh-sungguh membuat persembahan kerana berada dalam keadaan selesa.

Scha Al-Yahya selaku juri jemputan menggantikan tempat Bunga Citra Lestari pula membuat kejutan apabila memberikan dua Ha (bintang) untuk beberapa peserta minggu ini kerana ia belum pernah dilakukan juri tetap pada minggu sebelumnya.

Peserta solo Kavin Jay dilihat gagal menampilkan idea yang mampu menggeletek hati juri dan peminat akhirnya ditunjuk jalan keluar pada minggu ini.

Bagaimanapun, penyingkiran kumpulan Chilok agak mengejutkan kerana mereka dilihat menampilkan persembahan yang lebih baik berbanding kumpulan lain dan berjaya membuatkan penonton ketawa.

Kavin ketika ditemui berkata, dia kecewa kerana penonton gagal menerima gaya komedi yang ditampilkannya.

“Saya seorang pencerita dan berharap mereka faham apa yang nak disampaikan. Saya takkan beri ‘punchline’ begitu saja kerana penonton perlu mencari sendiri di mana ia berada.

“Namun, dalam kecewa saya lega kerana bukan mudah berada di pentas MLM. Saya sendiri dapat rasa akan tersingkir kerana mula rasa bosan apabila peminat tak ketawa.

“Saya akan terus berlawak, tapi mungkin takkan menyertai MLM lagi buat sementara waktu. Saya nak belajar memahirkan diri dalam bahasa Malaysia terlebih dahulu dan selepas itu mungkin akan bertanding semula.

“Bagaimanapun saya puas kerana tujuan memasuki MLM kerana nak cabar diri mempelajari ‘stand up comedy’ dalam Bahasa Malaysia. Bagi saya ini satu kejayaan peribadi,” katanya yang menjadikan Nabil Ahmad sebagai rujukannya.

Dalam pada itu, anggota Chilok iaitu Chiwan, Achok dan Kamal pula kecewa dengan komen juri yang dianggap menjadi punca penyingkiran mereka.

“Apabila disebut berada di tiga tangga terbawah, kami memang sudah sangka akan terkeluar. Kami memang terkejut kerana tersingkir dan tahu puncanya daripada komen Najip yang hanya berikan dua Ha kepada kami.

“Kami tak kecewa sekiranya tersingkir kerana persembahan kami teruk. Mungkin komen Najip itu mempengaruhi undian penonton. Kalau boleh, kami nak juri berikan komen yang membina selepas ini.

“Kami nakkan layanan yang sama dengan peserta lain. Kami sedar Chilok peserta baru dan perlu berusaha lebih berbanding mereka yang ada nama. Kami sudah buat yang terbaik, tapi belum cukup memuaskan hati juri,” kata mereka yang tetap akur dengan keputusan ini.

Sementara itu, Pengurus Saluran Astro Warna Emarina Kamal berkata, penyingkiran Kavin dan Chilok dibuat kerana mereka sudah dua kali berada dalam senarai tiga peserta terbawah.

“Selepas undian ditutup, kami putuskan untuk buat dua penyingkiran sekali gus. Dengan cara ini kami harap peserta yang tinggal akan memberikan persembahan yang baik pada minggu berikutnya.

“Saya juga mengakui kandungan komedi yang ditampilkan peserta pada minggu ini kurang menghiburkan kerana konsep berpakaian wanita dan lagu yang dipilih agak sama.

“Tema ini sudah baik dan disukai penonton, tapi malangnya peserta gagal memanfaatkannya. Jalan cerita mereka berbeza tapi konsep persembahannya sama.

“Berkenaan penyingkiran Kavin pula, peminat sukar nak terima ‘stand up comedy’ yang lain kerana sudah biasa dengan cara Nabil,” katanya.

Sam pula mahu peserta lebih bersedia untuk memberikan persembahan yang lebih baik pada minggu seterusnya.

“Saya tak nak peserta hanya pilih kandungan komedi yang tipikal. Kalau boleh saya nak mereka lebih kreatif. Setiap minggu saya sentiasa fikir ada tak peserta yang boleh buat saya ketawa?

“Saya tengok tiada banyak perubahan pada peserta. Saya bukan bermaksud nak lemahkan semangat mereka, tapi sememangnya harapan semua pihak terhadap peserta sangat tinggi,” katanya yang memuji keserasian Bocey dan Saywho ketika beraksi.

Scha pula mempertahankan keputusannya yang hanya memberikan dua Ha kepada kumpulan Bos.

“MLM sudah banyak tahun diadakan dan sewajarnya semua peserta memberikan lebih lagi. Ini antara sebab saya hanya bagi dua Ha kerana nakkan lebih lagi daripada Bos.

“Saya tengok persembahan mereka sangat klise. Saya menilai mereka dari sudut kandungan dan ada pandangan sendiri. Yang penting Bos terselamat daripada penyingkiran dan perlu bekerja keras selepas ini,” katanya.

Bos yang dianggotai oleh Ajo, Abu dan Ezad Lazim menjelaskan agak terkejut dengan tindakan Scha, namun menganggapnya positif sebagai pembakar semangat buat mereka memberikan persembahan yang lebih baik.

“Ada permainan kami yang orang boleh terima dan ada juga yang tidak. Bagi kami lawak itu subjektif. Kami sebenarnya berhati-hati tampilkan idea itu kerana tak nak sama dengan peserta lain.

“Kandungan lawak kami ada ‘storyline’ tapi masa tiga minit yang diberikan buatkan cerita kami tergantung,” kata mereka.

Persaingan minggu ketiga MLM 2016 menyaksikan Bora menduduki tangga teratas dengan undian 67.58 peratus, LOL (65.85 peratus), Bocey (61.95 peratus), Saywho (59.57 peratus) dan Joras (59.46 peratus).

-Harian Metro

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");