Sukan Hari Ini

Harap presiden kekal!

Kuala Lumpur: “Saya memohon Presiden FAM (Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah) supaya kekal, paling tidak pun hingga tempohnya tamat pada 2018.

“Tambahan saya percaya jika TMJ (Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim) dapat bergandingan dengan Presiden itu lebih baik kerana kedua-dua tokoh berkenaan memiliki karisma dan kualiti tersendiri untuk memajukan bola sepak negara.”

Demikian pandangan bekas pemain kebangsaan dan pengkritik bola sepak, Khalid Ali ketika mengulas cadangan bekas Naib Presiden FAM Datuk Seri Dr Raja Ahmad Zainuddin Raja Omar yang melihat andai kerusi panas itu dikosongkan dalam masa terdekat, TMJ antara calon sesuai menggantikan Tengku Mahkota Pahang itu.

Jelasnya, sejak Tengku Abdullah memimpin badan induk itu pada 2014, sudah banyak perancangan dan strategi diatur terutama dalam soal pembangunan akar umbi di samping penswastaan Liga Malaysia bermula musim ini.

“Saya rasa itu cuma cadangan peribadi beliau (Raja Ahmad) yang menamakan TMJ sebagai pengganti. Tapi terus terang saya katakan, Tengku Abdullah harus pegang jawatan itu.

“Pengalamannya amat diperlukan FAM ketika ini dalam melakukan perubahan. Lagipun beliau baru saja memimpin dan tak sampai satu penggal pun lagi.

“Saya faham, hasrat Tengku Abdullah itu berpunca daripada keputusan negatif yang diraih skuad kebangsaan sebelum ini. Namun, beliau sedang berusaha untuk membuat perubahan dan ia memerlukan sedikit masa, justeru berilah masa bagi membuktikan keupayaannya,” katanya.

Sebelum ini, Tengku Abdullah secara terbuka membayangkan FAM kemungkinan akan mendapat presiden baru selewat-lewatnya hujung bulan ini apabila perkara itu akan dibincangkan pada Mesyuarat Exco FAM Ke-7 bagi sesi 2014/2018.

“Bagi saya, TMJ belum bersedia bagi memimpin FAM kerana pengalamannya di peringkat antarabangsa masih kurang. Biarlah beliau menimba pengalaman di sana (Johor Darul Ta’zim) dan masanya akan tiba jua.

“Walaupun begitu, saya tetap menghormati kejayaan yang diraih TMJ apabila berjaya melakukan perubahan besar ke atas pasukan itu dalam tempoh singkat. Tapi alangkah bagusnya jika kedua-duanya boleh bekerjasama semula demi kebaikan bola sepak negara,” katanya.

Sebagai rekod, pemilik Johor DT itu pernah dilantik selaku Penasihat FAM oleh Tengku Abdullah pada Oktober 2014, namun tidak sampai setahun beliau meletakkan jawatan.-harian metro

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");