Jenayah

‘Ingat dinding tak jatuh’

Jasin: “Saya nampak dinding itu macam nak jatuh, ingat tak jatuh tapi jatuh juga,” kata Nurul Izatul Amira Zakaria, 8, yang cedera dihempap dinding separuh kekal di Sekolah Kebangsaan Jasin di sini, yang rebah akibat angin kencang, kelmarin.

Ketika ditemui di rumahnya di Taman Desa Merbau, Bemban di sini, murid tahun dua itu kelihatan ceria, namun mengadu masih sakit pada telinga dan bahagian belakang kanan kepalanya.

“Ketika itu, baru habis kelas bahasa Inggeris menyebabkan saya membawa buku untuk dihantar ke bilik guru melalui belakang dewan itu. Tiba-tiba dinding dewan itu rebah dan menghempap saya menyebabkan saya menjerit memanggil cikgu.

“Kemudian Cikgu Zaidi dapat tolong dan mengangkat saya sebelum seorang anggota wanita JPAM (Jabatan Pertahanan Awam Malaysia) memeriksa dan bertanyakan jika telinga saya dapat mendengar,” katanya.

Menurutnya, ketika kejadian, tiada murid lain kerana masing-masing sudah bersedia untuk pulang ke rumah masing-masing memandangkan waktu persekolahan sudah tamat.

“Doktor beri cuti empat hari dan saya duduk rehat saja di rumah bersama kakak,” katanya yang ditemani dua kakaknya, Nurul Atiqah, 14, dan Nurul Atirah, 13.

Sementara itu, bapa mangsa Zakaria Wahab, 40, berkata, dia bersyukur kerana pemeriksaan awal doktor di Hospital Jasin mendapati anak bongsunya itu tidak mengalami kecederaan serius.

Bagaimanapun, katanya, doktor hanya menjalankan pemeriksaan pada badan sedangkan anaknya masih mengadu sakit pada bahagian kanan kepalanya yang hampir dengan telinga yang mengalami luka.

Menurutnya, selepas ini, dia akan membawa anaknya itu menjalani ujian imbasan kepala kerana bimbang sekiranya ada kecederaan dalaman.

“Buat masa ini, saya tidak bercadang mengambil apa-apa tindakan terhadap pihak sekolah atau kementerian tetapi jika pemeriksaan mendapati kepala anak saya menunjukkan ada kecederaan, saya akan membuat tuntutan kepada pihak sekolah dan kementerian,” katanya.

Katanya, dia begitu terkejut melihat struktur dinding dan tingkap bangunan itu dibina tanpa menggunakan paku mahupun besi pada kerangka bangunannya.

“Saya juga seorang kontraktor dan biasa dengan binaan bangunan. Saya amat terkejut melihat bagaimana dinding dan tingkap bangunan itu dibina tanpa paku mahupun besi pada kerangka bangunan.

“Binaannya langsung tidak selamat dan berharap kementerian akan memastikan kejadian sama tidak berulang pada masa akan datang dan menimpa anak orang lain pula,” katanya.-harian metro

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");