Sukan Hari Ini

Jangan leka!

Kuala Lumpur: Jangan ambil mudah dan main sambil lewa. Itu saranan diberikan Pemangku Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM) Tan Sri Mohamed Al Amin Abd Majid menjelang aksi pertama Kejohanan Berpasukan Asia (kelayakan Piala Thomas/Uber) yang bermula hari ini.

Nasihat itu diberikan khusus kepada skuad Piala Thomas apabila mereka bakal memulakan aksi esok menentang Sri Lanka, manakala barisan pemain wanita pula berdepan cabaran Hong Kong.

Menurutnya, skuad Piala Thomas memang diletakkan dalam kumpulan selesa apabila akan bertemu Sri Lanka, Nepal serta juara bertahan Jepun, namun beliau mengikatkan pemain jangan mengambil mudah tentangan negara berkenaan.

“Dalam kejohanan berpasukan, apa saja boleh berlaku. Jangan ambil lewa cabaran Sri Lanka dan Nepal. Kita dapat lihat Piala Thomas di New Delhi dua tahun lalu, banyak kejutan berlaku dan kita harap Malaysia mampu melakukannya kali ini,” katanya.

Jelasnya, seperti sedia maklum, Malaysia menghantar skuad muda khususnya bagi kelayakan Piala Thomas dan BAM tidak meletakkan sasaran tinggi kerana paling penting pendedahan buat pemain.

“Ini pendedahan untuk melonjakkan ranking mereka agar selepas ini tidak perlu beraksi di pusingan kelayakan bagi kejohanan lain. Peningkatan paling terserlah ialah pemain perseorangan lelaki negara, Iskandar Zulkarnain Zainuddin (gambar),” katanya.

Sementara itu, Iskandar mengakui dia dan rakan sepasukan cukup bersemangat untuk turun menghadapi aksi sulung Kumpulan B menentang Sri Lanka, esok.

“Semua pemain dalam keadaan baik dan bermotivasi tinggi. Kami memang sudah bersedia untuk menghadapi perlawanan pertama. Jurulatih banyak bagi motivasi selain berkongsi pengalaman untuk meningkatkan tahap keyakinan kami.

“Kami akan turun dan melakukan yang terbaik untuk negara,” kata Iskandar ketika dihubungi di Hyderabad, semalam.

Mengulas lanjut, Iskandar, berkata selepas tiga hari di Hyderabad, pemain negara kini dalam proses menyesuaikan diri dengan keadaan di gelanggang di Stadium Tertutup GMC Balayogi.

“Semalam (kelmarin) dan hari ini (semalam) kami berpeluang menguji gelanggang. Semuanya berjalan lancar tapi angin agak sedikit kuat dalam stadium. Jadi, ia memberi kesukaran mengawal pergerakan bulu tangkis. Tapi ada sehari lagi sebelum perlawanan pertama, harap dapat sesuaikan diri,” katanya yang muncul naib juara Masters Malaysia bulan lalu.

-Harian Metro

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");