Sukan Hari Ini

JDT nekad ulangi kejayaan tumpas lawan

KEMENANGAN besar menewaskan Ayeyawady United FC Rabu lalu, melonjakkan moral positif Johor Darul Ta’zim (JDT) untuk melakar kejayaan di Kuala Terengganu, malam ini, lapor MOHD FIRDAUS YON.

Kapten JDT, Safiq Rahim berkata, dia berhasrat mengulangi persembahan bertenaga ketika membantu pasukan menewaskan wakil dari Myanmar itu dengan meledakkan hatrik.

“Kemenangan tempoh hari memberi suntikan moral dan aura positif buat pasukan apabila bertandang ke Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin bertemu Terengganu esok (hari ini).

“Terengganu adalah lawan yang berbeza berbanding pasukan kami hadapi sebelum ini dan mempunyai kekuatan tersendiri lebih-lebih lagi apabila beraksi di halaman sendiri. Namun, itu bukanlah penghalang buat kami untuk memberi aksi terbaik,” katanya di sini semalam.

Safiq berharap penyerang import baharu, Juan Martin Lucero meneruskan aksi cemerlang selepas menjaringkan dua gol pada perlawanan pertama Piala AFC 2016, baru-baru ini.

Katanya, pemain itu dilihat mampu menjadi aset penting buat JDT sekali gus mengisi kekosongan ditinggalkan penyerang Argentina, Luciano Figeuroa yang bersara.

“Kita tidak boleh samakan Lucero dengan Luciano (Figeuroa) kerana Luciano adalah pemain istimewa yang tiada galang gantinya.

“Tidak timbul soal tekanan buat Lucero bagi mengisi posisi Luciano kerana dia punyai kelebihan yang tersendiri dan tahu apa yang perlu dilakukan,” katanya.

Sementara itu, pengendali Harimau Selatan, Mario Gomez berkata, dia yakin pasukan bimbingannya mampu memperoleh kemenangan di gelanggang lawan.

“Ya, saya yakin kita mampu meraih tiga mata di sana. Saya akan membuat perubahan taktikal dan strategi untuk perlawanan ini.

“Selepas melalui perlawanan sebelum ini, pasukan terus menjalani latihan untuk perlawanan dengan Terengganu. Persiapan pasukan bagus,” katanya.

Jelas Gomez, dia tidak menolak kemungkinan merehatkan beberapa pemain utama sekali gus membuat pertukaran bagi menentang Terengganu.

Katanya, beberapa pemain masih belum dapat diturunkan untuk pertemuan dengan pasukan pantai timur itu antaranya Azamuddin Akil, Asrarudin Putra Omar dan Junior Eldstal.-sinar harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");