Sukan Hari Ini

Jinak Gajah Perang

Kuala Lumpur: Berdasarkan kesungguhan dan kerja keras skuad sepak takraw negara menjelang Siri Super ISTAF di Bangkok bulan depan, pengendali negara Abdul Talib Ahmad percaya pasukannya berpeluang melakar kejutan.

Walaupun agak sukar untuk menafikan kekuatan tuan rumah yang juga pasukan nombor satu dunia ketika ini, Talib nyata optimis anak buahnya turut berpotensi untuk pulang selaku pemenang andai semangat sama sewaktu latihan dapat dibawa pada saingan sebenar nanti.

Dengan latihan diadakan tiga kali sehari selain aksi persahabatan, beliau berharap pemain yang disenaraikan
nanti mampu menggugat regu Gajah Perang itu sekali gus mencalar keegoan mereka.

“Melihat kepada kesungguhan dan kerja keras mereka, saya tahu mereka mahu membuktikan sesuatu. Tidak mustahil kami boleh cipta kejayaan di Bangkok jika pemain beraksi sepenuh hati dan mengikut apa yang sudah dirancang.

“Mereka seronok turun berlatih dan fokus saya adalah memantapkan semua aspek yang masih lemah. Sama ada ketika bertahan, menyerang atau ketika melakukan servis, kami akan perbaiki semuanya sebelum Siri Super bermula,” katanya.

Pada saingan tahun lalu, skuad negara berjaya muncul juara Siri Super ISTAF di Melaka selepas menewaskan Thailand sebelum musuh tradisi itu bangkit semula pada pusingan akhir di Nakhon Pathom, Oktober lalu.

Jelas pengendali berusia 45 tahun itu, beliau juga sudah mempunyai bayangan pemain yang akan dibawa bagi mengibar cabaran negara namun enggan mendedahkannya lagi.

“Hampir 40 pemain ada dalam kem latihan negara dengan beberapa wajah baru serta pemain kebangsaan sedia ada.

“Sama ada ia regu pertama, kedua atau ketiga, masing-masing memahami corak permainan rakan sepasukan. Masih ada ruang yang perlu ditambah baik dan penting mereka kekal fokus sepanjang masa,” ujarnya.-harian metro

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");