Berita Hari Ini

Kaji semula keputusan ambil pekerja Bangladesh – MEF

KUALA LUMPUR: Persekutuan Majikan-majikan Malaysia (MEF) meminta kerajaan mengkaji semula cadangan membawa masuk 1.5 juta pekerja Bangladesh ke Malaysia.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Samsuddin Bardan, berkata langkah itu perlu bagi memastikan jumlah warga asing yang dibawa masuk untuk bekerja di negara ini relevan dengan keadaan ekonomi semasa yang tidak memungkinkan majikan mengambil lebih ramai pekerja.

Samsudin mengakui, MEF sebelum ini ada membuat permohonan kepada kerajaan untuk membawa masuk lebih ramai pekerja asing, namun ia dikemukakan sebelum kejatuhan harga minyak dan penyusutan nilai ringgit.

“Apabila ekonomi mula tidak menentu dan kos menggajikan pekerja asing semakin tinggi, majikan tidak memerlukan tenaga kerja tambahan sebegitu ramai. Malah, pada tahun 2015, majikan pelbagai sektor sudah memberhentikan kira-kira 26,000 pekerja di seluruh negara.

“Jumlah pekerja diberhentikan dijangka terus meningkat tahun ini. Jadi, pengambilan pekerja asing perlu bergantung kepada keadaan ekonomi. Jika ekonomi tidak begitu baik, mungkin pekerja asing sedia ada pun akan dihantar balik,” katanya ketika dihubungi BH sebentar tadi.

Semalam, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dilaporkan berkata, kemasukan pekerja Bangladesh adalah kerana permintaan industri bagi sektor yang dibenarkan, persatuan dan dewan perniagaan, namun ia bukan dibuat secara serentak, sebaliknya dalam tempoh tiga hingga lima tahun.

Timbalan Perdana Menteri juga menjelaskan, angka 1.5 juta pekerja Bangladesh yang mendapat liputan meluas dalam media, sebenarnya adalah jumlah mereka yang berdaftar dengan kerajaan Bangladesh untuk tujuan mencari pekerjaan.

-Berita Harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");