KUALA LUMPUR: Pengesahan Penarafan Kemungkiran Penerbit (IDR) mata wang tempatan dan asing jangka masa panjang Malaysia, masing-masing ‘A-‘ dan ‘A’ oleh Fitch Ratings, membuktikan keyakinan antarabangsa terhadap asas ekonomi dan kedudukan kewangan negara.
Ketua Penerangan UMNO, Tan Sri Annuar Musa, berkata penarafan itu juga memberi pengiktirafan besar ke atas dasar dan kemampuan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, mengendalikan ekonomi negara.
“Pada 28 Januari lalu, Perdana Menteri mengumumkan 11 langkah penstrukturan dan pengubahsuaian Bajet 2016 demi memastikan ekonomi dan kewangan negara kekal berada pada jajaran yang betul.
“Tidak sampai sebulan diumumkan, ia diakui betul oleh Fitch, sekali gus menggambarkan pandangan jauh Perdana Menteri dalam menguruskan ekonomi negara,” katanya dalam kenyataan, di sini, hari ini.
Semalam, firma global itu mengesahkan IDR mata wang tempatan dan asing jangka panjang Malaysia pada ‘A-‘ dan ‘A’ dengan tinjauan stabil.
Agensi penarafan itu turut mengesahkan penarafan terbitan bon mata wang tempatan tidak bercagar senior pada ‘A’, sementara paras siling negara, iaitu risiko modal dan kawalan tukaran asing, disahkan pada ‘A’ dan Mata Wang Asing Jangka Pendek IDR pada ‘F2’.
Annuar berkata, Perdana Menteri sentiasa menegaskan Malaysia tidak dan bukan berada dalam kegawatan ekonomi walaupun dalam situasi ekonomi global dan penurunan harga minyak mentah.
“Kerajaan tidak akan berkompromi khususnya dalam meneruskan langkah perbelanjaan berhemat dengan mengutamakan program dan projek berimpak tinggi berpaksikan rakyat.
“Penarafan baik Fitch ini memberi tamparan hebat kepada mereka yang beriya-iya terutama pembangkang yang mahu mencalar imej positif Perdana Menteri.
“Sudah tentu laporan ini bukan berita gembira buat pengkritik Perdana Menteri. Kini, kita lihat apa pula alasan pemimpin pembangkang untuk memperkecil-kecilkan penarafan baik Fitch ke atas Malaysia ini,” katanya.-berita harian