Sukan Hari Ini

Khairy sahkan FAM bakal hantar pencalonan gol kepada FIFA

Kuala Lumpur: Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin Abu Bakar memaklumkan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) bakal menghantar permohonan secara rasmi kepada FIFA bagi mencalonkan jaringan ‘ajaib’ Faiz Subri untuk Anugerah Puskas 2016, minggu depan.

Jelasnya, selepas mendapat maklum balas daripada Setiausaha Agung FAM Datuk Hamidin Mohd Amin mengenai perkara itu, beliau difahamkan anugerah gol terbaik dunia itu perlu dihantar persatuan kebangsaan sendiri dan FAM berjanji untuk melaksanakannya.

“Saya difahamkan FAM akan mencalonkan gol itu kepada FIFA minggu depan untuk dibuat penilaian sebab pencalonan untuk gol terbaik ini perlu dihantar menerusi persatuan kebangsaan,” katanya ketika bercakap kepada pemberita sewaktu Program ‘Moh Bedil’ bersama media anjuran Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan (YAKEB) di Bukit Jalil, di sini, semalam.

Selasa lalu, pemain Pulau Pinang berusia 29 tahun itu menarik minat jutaan penonton dari seluruh dunia selepas menjaringkan gol unik hasil sepakan percuma dari jarak 35 meter ketika membantu pasukannya menewaskan Pahang 4-1 dalam aksi Liga Super.

Jaringan minit ke-62 itu kemudian menjadi viral di laman sosial dan mendapat pujian penonton dari seluruh dunia termasuk media antarabangsa yang percaya jaringan itu mampu tersenarai dalam Anugerah Puskas serta tidak mustahil memenanginya.

Timbalan Setiausaha Agung AFC Datuk Windsor Paul John kemudian mencadangkan FAM supaya melakukan permohonan secara rasmi kepada FIFA agar gol berkenaan disenaraikan bagi Anugerah Puskas.

Bekas pemain kebangsaan, Bakri Ibni turut memberikan reaksi dengan mendesak FAM bertindak pantas mengiktiraf gol berkenaan selain memberi insentif kepada pemain kelahiran Air Hitam, Kedah itu.

Sementara itu, menurut sumber dalaman FAM, badan induk bola sepak tempatan itu bakal mengeluarkan satu kenyataan rasmi esok berhubung pencalonan jaringan Faiz itu sebelum dihantar kepada FIFA minggu depan.-harian metro

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");