Panasnya Hari Ini

Krisis Umno Akan Selesai Menjelang PRU-14 – Annuar Musa

KUALA LUMPUR: Ketua Penerangan Umno, Tan Sri Annuar Musa menyatakan keyakinan bahawa krisis dalaman melibatkan pemimpin kanan parti itu dapat diselesaikan menjelang Pilihan Raya Umum ke-14.

Ujarnya, Umno tidak akan membiarkan mana-mana pihak tersisih selagi mereka yang terlibat terus meletakkan kepentingan parti sebagai keutamaan.

“Saya mendoakan supaya mereka kembali bersama parti menjelang PRU. Kita tak nak ada sesiapa pun tersisih daripada proses untuk bersama dan memberi sokongan kepada parti.

“Nak kritik, nak tegur silakan. Tapi soal menghadapi kekuatan parti, kita kena bersatu. Saya harap situasi ini akan selesai,” katanya memetik laporan mStar Online hari ini.

Terdahulu Umno dilihat berhadapan krisis dalaman selepas Presiden UMNO Datuk Seri Najib Tun Razak memecat dua pemimpin kanannya iaitu Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Seri Shafie Apdal daripada kerajaan pada Julai tahun lalu.

Terbaharu Najib juga telah merestui gesaan pemimpin Umno Kedah supaya Datuk Seri Mukhriz Mahathir melepaskan jawatan sebagai menteri besar dan digantikan kini oleh Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah.

Mengulas perkara itu, beliau berkata kelompok berkenaan harus diberi ruang untuk membetulkan keadaan selepas menerima ujian dalam karier politik masing-masing.

“Mereka adalah orang yang mempunyai sejarah pengorbanan yang banyak kepada parti. Kalau mereka tidak mengganggu gugat dan tidak melanggar disiplin, saya percaya dengan mudah mereka akan diterima.

“Tapi saya faham, bila kita tersinggung, terus nak kritik. Tapi saya harap kawan-kawan saya berfikir banyak kali antara perasaan dan kebijaksanaan.

“Kalau kita jatuh sedikit, jatuh kerana digugurkan, kena ingat bahawa Tun Dr Mahathir (Mohamad) pernah dibuang daripada parti. Tapi beliau menjadi perdana menteri selepas itu,” katanya.

Beliau turut mengingatkan bahawa kedudukan Najib sebagai perdana menteri kerana beliau mendapat restu daripada parti.

“Yang duduk di kerusi itu dipilih oleh parti. Parti percaya bahawa presiden harus menjadi perdana menteri. Jadi ia bermaksud bahawa Datuk Seri Najib berada di situ kerana konsensus parti.

“Kalau kita setia kepada parti maka soal individu kita kena ketepikan. Ini ujian yang dilalui oleh banyak pihak.

“Tapi kalau kita hanya berpura-pura kononnya kita setia kepada parti…cuma kita benci kepada perdana menteri, apakah maksudnya?,” katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");