Isu Panas

Laluan berliku buat Mukhriz, Bashah

DRAMA politik Kedah selama hampir dua minggu berakhir dengan peletakan jawatan Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir dan meletakkan Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah di tanjak kuasa Menteri Besar Kedah.

Dua minggu lalu, penulis menyatakan ‘sukar untuk Mukhriz menentang arus’ walau sehebat mana pun beliau popular dan berkeras. Mukhriz boleh memilih jalan damai atau jalan konfrontasi dalam kontroversi ini.

Mukhriz juga boleh memilih jalan damai dengan menghubungi Najib menawarkan meletak jawatan bagi memulihkan suasana politik negeri kerana dengan cara itu akan mengurangkan ketegangan di Kedah dan mengekalkan jambatan politik antara beliau dengan Najib.

Malah, Mukhriz mungkin memilih jalan kedua mewujudkan simpati dan cuba menekan Najib sekuat mungkin untuk tidak menggugurkan beliau.

Beliau akan menjadi hero sementara waktu, namun tidak mungkin mengekalkan jawatannya. Namun akhirnya, Mukhriz memilih jalan kedua. Umno dan BN terluka teruk dengan krisis ini.

Penyokong Mukhriz bukan sahaja menghina wakil rakyat lain, malah Mukhriz sendiri melakukan ‘tumbukan di bawah pinggang’. Beliau menyindir Ahmad Bashah agar ‘tidak tertidur’ semasa majlis angkat sumpah. Satu komentar yang tidak mencerminkan sikap seorang ahli politik yang matang dan budiman seperti sepatutnya.

Mukhriz telah membakar jambatan dengan Umno Kedah apabila menyindir Ahmad Bashah supaya jangan tidur.

Mukhriz juga membakar jambatan dengan Perdana Menteri apabila membuat pelbagai tuduhan terhadap Najib sewaktu sidang media meletak jawatan.

Penasihat Mukhriz mungkin terpengaruh dengan romantika perjalanan politik Tun Dr Mahathir yang berkonflik dengan Perdana Menteri pertama negara, almarhum Tunku Abdul Rahman Putra.

Namun zaman berubah. Rencana politik kem Mukhriz tidak mengambil kira banyak unsur-unsur pembolehubah yang sudah jauh dari zaman bapanya itu.

Pertamanya, Mukhriz tidak mempunyai idealis perjuangan seperti mana bapa beliau. Mukhriz diketahui pengikut isu populis bukan pencipta isu.

Keduanya, Umno hari ini sudah dipenuhi pimpinan muda yang bersedia merebut peluang dan ruang kosong tersebut.

Ketiga, Tun Mahathir dahulu dilindungi Timbalan Perdana Menteri, Tun Abdul Razak yang tidak bermasalah dengan Tunku Abdul Rahman. Sedangkan Mukhriz hari ini ‘dilindungi’ Timbalan Presiden yang berseteru dengan Presiden.

Keempat, tambah menyukarkan keadaan Tun Mahathir bukan sahaja bergaduh dengan perdana menteri tetapi juga telah beberapa kali menyindir Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Satu-satunya jalan untuk Mukhriz keluar dari ‘gelandangan politik nasional’ pada masa akan datang ialah bersabar dan berusaha.

Mukhriz harus berusaha mengukuhkan kedudukan beliau di Umno Bahagian Jerlun dan menanti saat terbaik untuk comeback.

Soalnya, bersediakah Mukhriz menyinsing lengan menjaga Umno Bahagian Jerlun yang memerlukan komitmen masa dan wang yang bukan sedikit?

Politik kampung tidak boleh sekadar idealisme atau legasi keluarga semata-mata, ia harus seputar soal perkhidmatan, keterbukaan hubungan, ‘hemoi’, masjid, surau dan kemurahan hati.

Mukhriz memilih jalan susah dengan melukakan ramai rakan-rakan yang membantu beliau merampas Kedah.

Jika di awal kontroversi penyingkiran Mukhriz dianggap hero, seminggu kemudian Mukhriz sudah teruk cedera akibat perbuatan dan kata-kata beliau.

Kini bagi sebahagian orang, Mukhriz dilihat sebagai ahli politik yang tidak matang, emosional dan lupa jasa rakan-rakan dalam Umno Kedah.

Atau mungkin Mukhriz boleh menumpukan politik di bandar yang lebih cocok dan sesuai dengan jiwa politik bandar berasaskan intelektual, ketelusan dan anti-korupsi?

Jalan berliku juga buat Ahmad Bashah

Jalan berliku bukan sahaja kepada Mukhriz tetapi juga kepada Menteri Besar Kedah baharu, Ahmad Bashah.

Sungguhpun Adun Bukit Lada, Datuk Ahmad Lebai Sudin yang pertama dan paling vokal menyerang kepimpinan Mukhriz, namun majoriti penyokong Mukhriz melihat Ahmad Bashah sebagai ‘penjahat’ sebenar.

Ahmad Bashah diserang dari segenap sudut, usia, pendidikan dan kesihatan.

Ahmad Bashah digambarkan sebagai menteri besar paling ‘koroi’ (loghat Kedah untuk lekeh, lemah).

Bagi sebahagian penyokong Mukhriz, ahli Umno dan pengundi atas pagar yang tidak mengetahui masalah-masalah dalaman pentadbiran negeri dan parti, mereka melihat penggantian Mukhriz satu hukuman dari Pusat, bukannya masalah dalam negeri.

Mereka menganggap Mukhriz diganti kerana kritikan beliau ke atas Najib dan perselisihan Najib dengan Tun Mahathir.

Untuk memenangi hati rakyat, Ahmad Bashah perlu melupakan Mukhriz sama sekali. Simpan sahaja salah laku, kelemahan atau buruk beliau.

Bak kata pepatah kalau menepuk air di dulang pun terkena muka sendiri.

Sebaliknya, fokus utama Ahmad Bashah meletakkan sasaran membuat pembaharuan dan melaksanakan sebahagian manifesto BN Kedah yang kebanyakannya belum nampak batang hidung selepas separuh penggal berlalu.

Antara yang mungkin perlu difikirkan ialah janji membina litar lumba motosikal. Hendak bina litar seperti dijanjikan tidak perlu puluhan juta atau ratusan juta.

Negeri miskin, ekonomi tidak bagus, mengapa perlu menunggu bantuan Pusat jika boleh dibuat antara RM3-RM4 juta? Bukan hendak buat lumba motosikal antarabangsa, cukuplah ikut kemampuan kerajaan negeri.

Program-program masyarakat perlu digerakkan semula bagi menyemarakkan hubungan akar umbi dengan parti dan kerajaan negeri.

Kedah tidak boleh menjadi parti one man show kerana akhirnya dalam pilihan raya cara politik Kedah, masing-masing akan mengundi parti, calon Dun dan Parlimen bukan calon menteri besar.

Akhirnya, jalan berliku Ahmad Bashah mungkin tidak sesukar Mukhriz jika nahunya betul, dengan niat ikhlas membangunkan negeri.

* Ini adalah pendapat peribadi penulis sendiri dan tidak semestinya mewakili pandangan Sinar Harian Online.-SINAR

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");