SEBERANG PERAI UTARA: Seorang lelaki berputih mata apabila kereta miliknya terbakar dalam kejadian di Pangsapuri Chai Leng Park di sini, awal pagi semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 7.40 pagi itu, kereta terbabit dipercayai diletakkan di bawah blok bangunan pangsapuri berkenaan.
Jurucakap Bomba dan Penyelamat Negeri berkata, pihaknya menerima panggilan orang awam memaklumkan kejadian kira-kira jam 7.48 pagi.
“Sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Perai dikejarkan ke tempat kejadian dan tiba kira-kira jam 7.54 pagi.
“Kebakaran melibatkan bahagian belakang sebuah kereta Toyota Altis yang diletakkan di bahagian bawah bangunan tersebut,” katanya.
Katanya, kerja-kerja pemadaman dilakukan bagi mengelakkan kebakaran merebak.
“Api berjaya dikawal dan dipadamkan sepenuhnya kira-kira jam 8.01 pagi.
“Kebakaran mengakibatkan 20 peratus bahagian belakang kereta tersebut mengalami kerosakan teruk,” katanya.
Beliau berkata, buat masa ini anggaran kerugian dan punca kebakaran masih disiasat.
“Tiada kecederaan mahupun kehilangan jiwa dilaporkan dalam kejadian ini,” katanya.
-Sinar Harian